Untung pelaburan tak dapat, duit simpanan RM36,188 lebur

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang peniaga di Bentong mahu mendapat keuntungan pantas dengan melaburkan wang dalam skim pelaburan membawa padah apabila kerugian RM36,188.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, penipuan itu bermula awal bulan ini apabila lelaki terbabit berkenalan dengan seorang perempuan melalui laman sosial.

"Suspek telah menawarkan pelaburan saham kepada mangsa melalui satu aplikasi.

"Mangsa bersetuju dan berminat apabila dimaklumkan bahawa akan memperoleh keuntungan berganda daripada modal yang dilaburkan dalam masa yang singkat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM36,188 melalui empat transaksi ke dalam akaun berbeza.

Jelasnya, setelah wang dimasukkan mangsa tidak dapat mengeluarkan wang pulangan daripada aplikasi tersebut.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong selepas merasakan dirinya ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah memperdaya mangsa dengan cara menawarkan pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian sejumlah wang.

Ujarnya, rakaman percakapan sudah diambil dan siasatan sedang dilakukan.