X

Kindly register in order to view this article
!

Saat yang dinanti...

A
A

SIDANG Khas Parlimen yang akan berlangsung esok sudah pastinya menjadi perhatian ramai. Parlimen yang sudah lama tidak bersidang ini masih ditunggu-tunggu rakyat.

Daripada agenda persidangan yang diedarkan ia seolah-olah tidak akan mendatangkan sebarang kontroversi atau pertikaian namun begitu daripada cakap-cakap yang diutarakan di media sosial, media utama dan sebagainya terlalu banyak perkara yang akan dibangkitkan bukan sahaja oleh pembangkang tetapi juga segolongan daripada kerajaan juga.

Rakyat sedang bergelut dalam krisis ekonomi dan kesihatan.

Negara masih lagi dalam darurat dan krisis politik yang tidak nampak penghujungnya terus mencengkam negara dan merupakan antara batu penghalang kepada kemajuan negara.

Saya yakin bermula esok, rakyat akan tekun memerhati gelagat ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Sudah ramai hilang kepercayaan kepada ahli politik kita yang dilihat hanya mahu mempertahankan kuasa ataupun merebut kuasa.

Kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat tidak diutamakan. Kekurangan majoriti jelas parti politik di Dewan Rakyat di kedua-dua belah pihak menghakis keupayaan kerajaan dalam mentadbir negara dengan baik.

Disebabkan itulah timbul idea seperti kerajaan teknokrat, Mageran dan juga piagam rakyat. Ini adalah manifestasi kepada perasaan rakyat yang sudah hilang kepercayaan kepada politikus dalam negara.

Timbul persoalan adakah sistem dan corak pemerintahan dan politik di Malaysia ini tidak sesuai diadun di tanah air kita. Ini kerana ia memang mengikut acuan British yang mentadbir negara ratusan tahun.

Dari sudut undang-undang, corak pemerintahan baharu boleh dilakukan dengan meneliti semula peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi tafsiran tepat mengenainya di samping memperkukuh struktur asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Apa yang saya ingin zahirkan ialah Malaysia perlukan perubahan dalam sistem pemerintahannya.

Kita akur Yang di-Pertuan Agong adalah eksekutif sebenar bagi Persekutuan, jemaah menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif Seri Paduka menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Hakikat ini perlu dipertegas dan diberikan makna yang sebenar.

Selagi mana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perubahan corak pemerintahan boleh dilakukan dengan terus memberi makna sebenar kepada kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Berbalik kepada Sidang Khas Parlimen esok, kita lihatlah bagaimana aksi dan reaksi wakil rakyat kita dalam sidang khas tersebut.

Rakyat memantau apa yang sedang berlaku. Rakyat mahukan pembelaan semasa pandemik Covid-19 ini.

Sudah bergema kembali seruan supaya Parlimen dibuka bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen menyuarakan isu rakyat.

Suara ini kian lantang kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri menitahkan agar Parlimen dibuka. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sendiri juga pernah dilapor menyuarakan hasrat sama.

Walaupun dulu ada yang berfikiran apabila proklamasi darurat diisytiharkan negara akan dikuasa tentera, rakyat akan hanya duduk dalam rumah kerana perintah berkurung dilaksanakan dan semua kegiatan ekonomi, sosial dan perundangan disekat, hal ini tidaklah bersandarkan kepada fakta yang benar.

Darurat bukanlah pemerintahan kuku besi atau penghujung kehidupan yang bebas.

Darurat ini bukanlah merupakan suatu pemerintahan tentera, tetapi memahatkan segala kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai pengamal undang-undang, saya sangat berharap agar persidangan esok dilaksanakan dalam adab dan tertib yang tinggi, hormat menghormati dan memberi semua pihak ruang untuk mengemukakan hujahan mereka. Tumpukanlah segala perbahasan kepada kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara.

Elakkanlah daripada hina menghina, mengeluarkan perkataan yang tidak beradab apatah lagi bergaduh.

Dewan yang mulia tersebut perlu dihormati kemuliaannya, tidak dinodai dengan perkara-perkara yang tidak seharusnya berlaku.

Sesungguhnya rakyat memerhati!!

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!