'Kazakhstan hilangkan trauma saya'

Rayzam Shah
Rayzam Shah
A
A
A

PELARI 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian menyifatkan Kejohanan Olahraga Qasanov di Almaty, Kazakhstan bulan lalu berjaya memadam trauma dihadapinya sejak dua tahun lalu.

Malah menurut Rayzam Shah atlet dari Keningau, Sabah tersebut, kejohanan kompetitif pertamanya itu berjaya menyuntik kembali keyakinan dalam dirinya selepas 18 bulan tidak beraksi di lapangan.

“Syukur alhamdulillah, trauma dua tahun lalu sudah berakhir, saya tidak perlu memikirkan permulaan lambat dan pagar halangan di depan lagi seperti di Filipina sebelum ini yang menjejaskan momentum larian.

“Kazakhstan juga sememangnya telah memadamkan trauma di Kejuaraan GP Terbuka Malaysia 2019 apabila saya sudah boleh memberikan sepenuh tumpuan kepada larian.

“Malah paling penting sebagai atlet, saya juga dapat merasai nikmat bersaing secara penuh dalam pertandingan kompetitif sejak Sukan SEA Filipina 2019.

“Pada saingan pemanas badan GP Terbuka Malaysia sebelum ini, saya pun tidak dapat mengakhiri larian selepas mengalami kecederaan semasa perlumbaan,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Untuk rekod, Rayzam Shah yang juga pemegang rekod kebangsaan, menamatkan saingan acara kegemarannya itu di Kazakhstan dengan catatan masa 14.18 saat.

Pada Kejuaraan Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rayzam mengalami kecederaan patah tangan kanan.

Artikel Berkaitan:

Insiden tersebut berlaku apabila lompatan terakhir Rayzam yang ketika itu mendahului perlumbaan gagal melepasi palang halangan menyebabkannya terjatuh di balapan.

Rayzam sebelum ini pernah membantu kontinjen Sukan SEA negara meraih dua pingat emas masing-masing di Korat 2007 dan Kuala Lumpur 2017, selain itu turut pernah meraih lima perak, masing-masing di Sukan SEA Palembang 2011, Naypyidaw 2013, Singapura 2015 dan Filipina 2019.

Mengulas lanjut, Rayzam percaya beliau mampu kembali berada pada prestasi terbaik sekiranya menyertai dua atau tiga lagi pertandingan kompetitif sedemikian pada masa hadapan.

Malah jelas Rayzam, penangguhan Sukan SEA Vietnam baru-baru ini memberikan lebih banyak ruang dalam kalangan atlet untuk meningkatkan semula prestasi dengan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara.

“Situasi Covid-19 di Asia sebenarnya banyak menghalang penganjuran beberapa kejohanan besar sekaligus menjejaskan prestasi dalam kalangan atlet.

“Namun, saya sarankan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk melihat beberapa kejohanan luar negara seperti di Kazakhstan sebelum ini sebagai alternatif dengan ketiadaan atau pembatalan acara lain akibat Covid-19.

“Pada masa sama, KOM perlu mengambil inisiatif menganjurkan kembali kejuaraan domestik dengan menggunakan kaedah gelembung sukan seperti dilaksanakan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) apabila kadar kes Covid-19 dalam negara mula menunjukkan penurunan pada masa hadapan,” katanya