Jangan gagalkan program vaksinasi

No Image Caption
A
A
A

VIRUS Covid-19 varian Delta ini benar-benar mengancam dunia termasuk Malaysia.

Satu-satunya harapan untuk kita keluar daripada pandemik ini ialah vaksin.

England mengalami serangan varian Delta ini dengan lebih pantas dan dahsyat. Negara tersebut kini mempunyai 45,000 kes positif sehari.

Namun menurut Ketua Penasihat Sains England, Patrick Vallance, 60 peratus mereka yang dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 adalah kumpulan yang belum menerima suntikan vaksinasi lengkap atau tidak menerima langsung.

Di sebalik serangan pantas varian Delta ini, Jumaat lalu, Malaysia buat kali pertama melepasi angka 500,000 suntikan sehari.

Namun dalam keadaan negara sedang berjuang untuk keluar daripada pandemik Covid-19 melalui program imunisasi kebangsaan secara besar-besaran, terdapat beberapa insiden yang boleh menggugat kepercayaan rakyat.

Rakaman video yang menunjukkan seorang petugas tidak menekan picagari ketika melakukan suntikan telah tular dan menimbulkan keresahan rakyat.

Dan ini bukanlah satu-satunya insiden berkaitan suntikan vaksin yang diragui. Setakat ini sebanyak 13 laporan polis telah dibuat berhubung isu suntikan vaksin kosong.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas petugas kesihatan terbabit dan melakukan suntikan baharu kepada penerima, namun ia menimbulkan persoalan lebih besar.

Apakah kes ini merupakan kejadian terpencil atau ada lebih banyak kes tetapi tidak disedari.

Bagi yang telah menerima vaksin mereka boleh menghilangkan keraguan dengan mengingati kembali sama ada anda mengalami salah satu gejala sampingan selepas sunti-

kan seperti seperti demam ringan, sakit kepala, berasa mual, atau keletihan. Salah satu kesan ini selepas suntikan vaksin boleh menjadi indikator anda telah mendapat suntikan dos vaksin.

Namun ada juga kes penerima vaksin yang tidak mengalami apa-apa gejala kesihatan. Ini bukan bermakna anda tidak menerima suntikan vaksin atau vaksin anda tidak berkesan.

Vaksin tetap berkesan cuma cara badan seseorang bertindak balas agak berbeza.

Bagi yang masih ragu-ragu, ada ujian boleh dilakukan bagi mengesan kehadiran antibodi menentang Covid-19 dalam badan.

Namun ini hanya boleh dilakukan setelah lepas dua minggu anda menerima suntikan dos vaksin kedua.

Jumlah suntikan diragui ini sangat kecil berbanding jumlah keseluruhan yang mencecah 16 juta dos. Jadi secara asasnya tiada sebab untuk kita ragu-ragu mengenai keberkesanan program imunisasi kebangsaan.

Dalam masa sama, kenyataan CITF bahawa kes terbabit terpencil kerana faktor keletihan petugas agak sukar diterima kebanyakan orang.

Ini kerana bagi mereka yang terlatih, prosedur suntikan vaksin adalah sesuatu yang rutin ringkas dan mudah untuk kita terima faktor dengan keletihan sebagai punca tidak menyuntik dengan betul.

Kebimbangan kita ialah insiden ini disengajakan sama ada untuk menyimpan vaksin tersebut kepada pihak lain, atau terdapat petugas yang antivaksin sengaja tidak menyuntik kepada penerima.

Justeru, setelah selesai siasatan, CITF wajar memberi penjelasan yang lebih mendalam mengenai kes dilaporkan.

Siasatan tidak seharusnya tertumpu kepada insiden terbabit sahaja.

Ia juga harus mengambil kira penerima vaksin sebelum ini yang mendapat khidmat petugas yang sama.

Hanya melalui siasatan seperti ini sahaja, CITF dapat meyakinkan rakyat bahawa insiden-insiden ini adalah kes terpencil.

Selagi tiada penerangan terperinci, keraguan dan hilang kepercayaan akan terus berlegar dalam kalangan masyarakat.

Keyakinan ini penting bukan sahaja untuk rakyat, malah memastikan sijil digital vaksinasi negara pada masa hadapan tidak dipersoalkan di peringkat antarabangsa.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)