Difteria: Seorang pesakit dibenar pulang

 Difteria. Gambar kecil: Sahruddin
Difteria. Gambar kecil: Sahruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak daripada lima yang disyaki dijangkiti Difteria dibenarkan pulang ke rumah selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Exco Kesihatan Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, empat lagi kanak-kanak berkenaan masih berada dalam pemantauan di wad isolasi pediatrik.

"Semua terkawal, seorang dah balik dan empat lagi masih berada di wad.

"Bagaimanapun keadaan semua kanak-kanak itu stabil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, kanak-kanak berkenaan termasuk tiga perempuan berusia bawah empat tahun dikesan positif jangkitan Difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan Johor.

Perkara itu mendapat perhatian apabila berlakunya satu kematian di bandar raya ini melibatkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai akibat jangkitan berkenaan.

Daripada lima kanak-kanak disyaki positif, empat daripadanya telah mengambil suntikan vaksin, manakala seorang lagi iaitu kakak kepada mangsa yang meninggal dunia Selasa lalu, tidak mengambil suntikan vaksin.

Turut dimaklumkan, semua kanak-kanak ini tinggal di kawasan perumahan yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes difteria: Ibu bapa jangan abai imunisasi

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan, Sahruddin berkata, pihaknya memberi sokongan penuh.

"Saya setuju, vaksin dapat melindungi kanak-kanak daripada penyakit merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

"Sesetengah penyakit bukan sahaja merbahaya kepada kanak-kanak, tetapi ia juga membawa mudarat kepada sesiapa yang dekat dan mempunyai hubungan dengan mereka," katanya.

Justeru, pihaknya menyarankan orang ramai untuk bertindak segera dan memahami kepentingan vaksinasi tersebut sekali gus bersama-sama membina persekitaran yang sihat dan selamat.