Atlet Malaysia gagal beri impak hari kedua Tokyo 2020

Foto: AFP
Foto: AFP
A
A
A

BARISAN atlet negara menampilkan aksi hambar pada hari kedua temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila gagal memberi impak dalam acara masing-masing pada Sabtu.

Kem badminton yang menjadi taruhan meraih pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu mempamerkan prestasi mengecewakan apabila dua daripada tiga wakil Malaysia beraksi pada Sabtu, tumpas kepada lawan mereka dalam aksi pembukaan acara itu di Plaza Sukan Musashino Forest, Tokyo.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa akur kepada kehebatan gandingan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet, apabila tumpas 18-21, 21-10, 16-21 dalam aksi Kumpulan D.

Kekalahan tersebut menyaksikan beregu negara itu tidak mempunyai pilihan selain perlu menang ke atas gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich dalam aksi kedua kumpulan esok bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Meng Yean turut gagal mempamerkan aksi terbaik apabila kecundang kepada beregu Indonesia Greysia Polii-Apriyani Rahayu pada Sabtu.

Pasangan negara itu yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik Tokyo, terpaksa akur di tangan Greysia Polii-Apriyani Rahayu 14-21, 17-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A

Kekalahan itu menyaksikan Mei Kuan-Meng Yean berdepan laluan sukar untuk mara ke pusingan kalah mati apabila mereka dijadual bertemu pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima esok dan beregu England, Chloe Birch-Lauren Smith yang turut diundi dalam kumpulan sama.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedikit memberikan keceriaan kepada kontinjen negara hari ini apabila mengejutkan pasangan Korea Selatan yang berada di ranking ketujuh dunia, Choi Solgyu-Seo Seungjae 24-22, 21-15 dalam perlawanan Kumpulan D.

Artikel Berkaitan:

Gandingan Malaysia itu yang menghuni ranking kesembilan dunia, bagaimanapun bakal berdepan tugas getir apabila dijadual bertemu beregu di ranking kedua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada Isnin (26 Julai) sebelum melengkapkan jadual kumpulan bertemu pasangan Kanada Jason Ho-Shue-Nyl Yakura paa Selasa (27 Julai).

Hanya dua beregu terbaik setiap kumpulan mara ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, hasrat atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing untuk mara ke final acara Individu All-Around tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat ke-62 daripada keseluruhan 66 peserta dalam acara berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake, hari ini.

Pada aksi kumpulan pertama melibatkan 22 gimnas, Jeremiah menamatkan saingan di kedudukan ke-19 dengan mengutip keseluruhan 67.498 mata.

Atlet berusia 23 tahun itu, yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik mengumpul 13.100 mata dalam senaman lantai, kekuda berpelana (12.266), gelang roman (7.700), melombol (12.466), palang imbangan (10.200) dan acara palang tunggal (11.766).

Hanya 24 gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke final bagi acara Individu All-Around yang akan berlangsung pada Rabu depan.

Perenang negara, Welson Sim Wee Sheng turut gagal meloloskan diri ke peringkat akhir acara 400 meter gaya bebas lelaki pada temasya sukan itu.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 24 tahun itu menamatkan saingan di kedudukan ke-33 keseluruhan daripada 36 perenang dalam acara berkenaan yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo.

Hanya lapan perenang teratas mara ke peringkat akhir pada Ahad (25 Julai).

Terdahulu, Welson menduduki tempat keenam dalam saringan kedua selepas mencatat masa 3:58.25 saat.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia akan turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu pemain Ukraine Artem Pochtarov, esok.

Selain itu, aksi melibatkan atlet Malaysia pada Ahad juga menyaksikan ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi akan membuat penampilan dalam pusingan kelayakan acara All-Around Individu Wanita serta Welson bagi acara saringan 200 meter gaya bebas dan Phee Jinq En dalam acara 100 meter kuak dada wanita.

Acara pelayaran turut akan memulakan aksi esok melibatkan Nur Shazrin Mohamad Latif dalam acara Laser Radial Wanita dan Khairulnizam Mohd Affendy bagi acara Laser Standard Lelaki. - Bernama