Welson gagal mara ke final 400m gaya bebas

Welson Sim gagal melayakkan diri ke final 400m gaya bebas lelaki di Sukan Olimpik Tokyo pada Sabtu. - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
Welson Sim gagal melayakkan diri ke final 400m gaya bebas lelaki di Sukan Olimpik Tokyo pada Sabtu. - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
A
A
A

PERENANG negara Welson Sim Wee Sheng gagal melayakkan diri ke final 400 meter (m) gaya bebas lelaki di Sukan Olimpik Tokyo, di sini pada Sabtu.

Perenang dari Sarawak berusia 24 tahun itu menduduki tempat ke-33 daripada 36 perenang dalam ranking keseluruhan acara itu pada hari pembukaan acara renang di Pusat Akuatik Tokyo.

Hanya lapan atlet terbaik mara ke final yang akan berlangsung pagi Ahad.

Terdahulu, Welson berada di kedudukan keenam pada saringan kedua mencatatkan masa 3:58.25s sementara perenang Venezuela, Alfonso Mestre di tempat pertama dengan masa 3:47.14s diikuti perenang Slovenia, Martin Bau di tempat kedua (3:52.56s) dan wakil Peru, Joaquin Vargas di tempat ketiga (3:52.94s).

Perenang Jerman, Henning Bennet Muhlleitner mengungguli carta keseluruhan dengan masa 3:43.67s, Felix Auboeck dari Austria muncul kedua terbaik dengan 3:43.91 dan Gabriele Detti dari Itali di kedudukan ketiga terpantas dengan masa 3:44.67s.

Ini adalah percubaan kedua Welson dalam acara sama, pada Sukan Olimpik Rio 2016 beliau mencatatkan masa 3:51.57s untuk menduduki tangga ke-34 keseluruhan.

Bagaimanapun, Welson mempunyai peluang kedua untuk membuktikan kemampuannya dalam acara 200m gaya bebas lelaki esok, juga seorang lagi perenang negara Phee Jinq En dalam 100m kuak dada wanita. - Bernama

Artikel Berkaitan: