Hentikan tohmahan, KPWKM terbuka terima cadangan tambah baik BPN

Kerja-kerja penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara oleh sukarelawan Skuad Prihatin Negara di KPWKM.- Foto Bernama
Kerja-kerja penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara oleh sukarelawan Skuad Prihatin Negara di KPWKM.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan untuk penambahbaikan pelaksanaan program Bakul Prihatin Negara (BPN).

KPWKM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pelaksanaan program bantuan itu dibuat secara tertib dan teratur berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuklah proses penghantaran BPN dilakukan petugas Sukarelawan Skuad Prihatin Negara secara sukarela.

Justeru, kementerian itu berpandangan tohmahan dan dakwaan mengenai soal ketelusan program BPN yang dibuat segelintir individu, cukup mengecewakan dan tidak berasas sama sekali.

“Jangan sesekali bertindak menafikan hak rakyat yang sedang memerlukan bantuan di saat sukar ini...kami berada di sini untuk menjaga rakyat dan kementerian juga telah menyediakan talian tambahan untuk memperkasakan sistem penyampaiannya,” menurut kenyataan itu.

KWPKM memberitahu, sejak BPN dilancarkan pada 15 Julai lepas, lebih 300,000 permohonan bantuan itu diterima setakat hari ini.

Menurut kementerian, maklum balas yang diterima daripada penerima BPN juga sangat positif dan ramai daripada mereka menyifatkan ia sebagai bantuan kecemasan yang sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan yang dihadapi.

“Peranan sektor swasta amat dihargai, namun kementerian tidak akan berkompromi daripada aspek harga dan nilaian barangan bakul makanan sepertimana yang telah dipersetujui antara kementerian dengan pihak penyumbang iaitu RM50 bagi satu bakul makanan,” jelas kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan diseru untuk menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di 108 daerah di seluruh negara atau talian kasih melalui talian 15999, media sosial rasmi KPWKM dan JKM atau menghubungi pemimpin tempatan di kawasan masing-masing. - Bernama

Artikel Berkaitan: