Individu sertai konvoi #Lawan akan dikenakan kompaun

Mohamad Zainal memberi amaran kepada mana-mana pihiak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan untuk melupakan hasrat tersebut. Gambar kecil: Mohamad Zainal
Mohamad Zainal memberi amaran kepada mana-mana pihiak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan untuk melupakan hasrat tersebut. Gambar kecil: Mohamad Zainal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat dengan konvoi #Lawan membabitkan sebanyak 15 kereta dan sebuah motosikal sebagai simbolik tindakan protes terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti nombor pendaftaran kesemua kenderaan yang menyertai konvoi berkenaan menerusi rakaman video daripada anggota bertugas.

Menurutnya, sebuah kenderaan yang dimiliki oleh seorang lelaki 30-an yang dikompaun kerana menyertai perhimpunan membawa jenazah di Dataran Merdeka pada minggu lalu turut dikenal pasti terlibat dalam konvoi tersebut.

“Tindakan kompaun diambil kerana mereka melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan melebihi had jumlah penumpang dalam kenderaan.

“Semua pihak yang terbabit dalam konvoi itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut kerana berkonvoi, berhimpun serta mengadakan aktiviti sosial dalam tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Peraturan 7 dan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Orang ramai juga diingatkan agar tidak terlibat dalam satu lagi perhimpunan yang dipercayai akan diadakan di ibu kota pada 31 Julai ini.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan nanti supaya melupakan hasrat itu kerana tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian mendapati konvoi tersebut memulakan perjalanan dari stesen transit aliran ringan (LRT) Bangsar menuju ke Dataran Merdeka sekitar jam 11.30 pagi dan bergerak ke Brickfield sebelum bersurai.