Kerajaan sasar sedia satu juta peluang kerja atasi pengangguran

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sebanyak satu juta peluang pekerjaan menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan rakyat di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha tersebut sedang dilaksanakan menerusi Majlis Pekerjaan Negara yang sudah pun berjaya untuk mewujudkan sebanyak 300,000 peluang pekerjaan pada ketika ini.

"Apabila sudah dapat capai 300,000 kita sasarkan kepada 500,000 dan seterusnya naik kepada satu juta peluang pekerjaan," katanya ketika sidang akhbar khas di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, untuk itu, beliau menyeru agar pegawai-pegawai kementerian dan agensi diminta untuk berusaha bagi menjayakan perkara tersebut.

"Kita juga menyediakan program-program latihan semula dan meningkatkan kemahiran bagi membolehkan rakyat yang mengganggur ini dapat peluang pekerjaan lain," ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, pada ketika ini, kadar pengangguran sudah menurun kepada 4.5 peratus bagi Mei tahun ini berbanding 5.3 peratus pada Mei tahun lalu selepas beberapa penambahbaikan dibuat.

"Namun angka pengangguran ini masih dianggap agak tinggi. Sektor informal iaitu mereka yang bekerja sendiri juga tinggi dan bilangan mereka ramai.

"Matlamat kita mahu kurangkan pengangguran dan ini terdapat dalam PPN," katanya.

Artikel Berkaitan:

PPN yang diumumkan pada 15 Jun lalu itu, menggariskan jalan keluar bagi negara daripada pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini, yang turut memberi kesan terhadap kehidupan rakyat.

Pelan itu sudah disusun sehingga ke peringkat negara mencapai imuniti kelompok dan bersandarkan kepada data serta sains yang diperoleh daripada sudut pengurusan pandemik, ekonomi dan vaksinasi negara.