X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada sindiket, individu disyaki jual vaksin Covid-19

Abd Jalil
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak mengesan sebarang sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau memasarkan vaksin Covid-19 setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, orang ramai boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya, hal ini akan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Ingin ditegaskan sekiranya penerima vaksin mengesyaki telah menerima suntikan vaksin kosong, mereka boleh buat laporan di balai polis dan JSJ akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat aduan itu.

"Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi penerima vaksin yang gelisah dan berasa telah diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin Covid-19, mereka boleh buat ujian 'Covid Neutralizing Antibody Test' di makmal perubatan berlesen sebulan selepas suntikan dos kedua.

Jelasnya, ini bagi mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badan penerima.

Pada Jumaat, Abd Jalil berkata, pihaknya telah menerima 13 laporan polis berhubung dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Tujuh laporan polis diterima di Kuala Lumpur manakala tiga lagi di Selangor dan masing-masing satu laporan polis di Kedah, Perak serta Melaka.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau fakta yang tidak diketahui sejauh mana kesahihannya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!