Kerajaan kaji benarkan pengembara kuarantin di rumah jika lengkap dos

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan sedang dipertimbangkan untuk membenarkan pengembara dari luar negara untuk menjalani kuarantin di rumah dan hanya perlu menjalani ujian calitan sebelum dibenarkan untuk keluar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu akan membolehkan kos yang terpaksa ditanggung bagi menjalani kuarantin akan dapat dikurangkan.

Selain itu, kelonggaran juga akan diberikan kepada pasangan jarak jauh untuk melakukan perjalanan merentas negeri termasuk kelonggaran bagi melakukan beberapa aktiviti sukan.

“Kerajaan sedang meneliti perkara ini dan saya akan umumkan dalam beberapa hari lagi supaya kelonggaran ini nanti akan memberi ruang dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya ketika sidang akhbar khas di sini pada Sabtu.

Pada sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan satu pelan yang progresif, dinamik dan inklusif untuk membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19.

“PPN nak pastikan peralihan secara sistematik, supaya rakyat buat persediaan yang cukup untuk kita hidup dalam norma baru.

"Kita antara negara pertama yang kemukakan pelan pemulihan menyeluruh, proaktif dengan kerangka dan dasar teratur serta tepat," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan, sebanyak lapan buah negeri kini sudah berada dalam fasa kedua PPN.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjangkakan lebih banyak negeri akan mengalami situasi yang sama terutama bagi negeri yang sudah menerima kadar vaksinasi yang tinggi.

“Saya yakin lepas ni ada banyak negeri akan masuk ke fasa dua, dan mungkin fasa tiga. Contohnya, Sarawak sudah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi dan kawalan baik.

"Perlis pun dah sampai ke tahap berjaya sepenuhnya. Ini bukti langkah PPN dapat dilaksanakan,” ujar beliau.

Tambah Perdana Menteri, dengan kadar vaksinasi yang tinggi pada ketika ini negara telah berjaya mencapai sasaran awal sekali gus mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan awam.

“Kita hendak pastikan sistem kesihatan kita jangan runtuh, jangan sampai ada mayat bergelimpangan. Kita tidak sampai ke tahap itu kerana dasar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hendak pastikan sistem kesihatan mampu bertahan.

“Untuk itu, kita sediakan belanjawan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak RM70 bilion bagi memastikan penjagaan kesihatan yang terbaik termasuk vaksin kepada rakyat,” jelasnya.

Menurut Muhyiddin, selain daripada aspek kesihatan, kerajaan juga menumpukan kepada pemulihan ekonomi mulai tahun ini sehingga 2023.

“Langkah-langkah pemulihan akan saya umumkan dalam Bajet 2022 atau Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentang tidak lama lagi.

“Ini adalah pemulihan panjang yang memang menyakitkan tetapi saya yakin kita akan dapat lepasi ujian ini.

"Berikan kerajaan peluang kerana usaha untuk memastikan kejayaan PPN bergantung kepada dokongan kerajaan, rakyat, pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak,” katanya.