KASA, SPAN tangani pencemaran

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan pantas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menangani isu pencemaran sumber air mentah di Ulu Keratong, Pahang meringankan masalah yang dihadapi 11,500 penduduk yang terkesan di kawasan itu.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Dr Ir Mohmad Asari Daud berkata, masalah sumber air menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong yang menerima sumber air mentah dari Sungai Pukin, Rompin tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Mohmad Asari turut memaklumkan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) terpaksa menyediakan sejumlah 300 buah tangki air statik dan 28 buah lori tangki ke kawasan yang terjejas.

“LRA Keratong tidak dapat beroperasi akibat pencemaran di Sungai Pukin, Rompin selepas tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit runtuh.

“Bantuan lori tangki juga diperoleh daripada operator negeri lain yang diselaraskan oleh SPAN sebagai usaha mengurangkan impak gangguan operasi bekalan air terawat di kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, situasi itu bukan kali pertama berlaku di negara ini dan pihak yang terbabit tidak mahu mengambil pengajaran daripada keperitan pengguna bekalan air terawat yang terjejas.

Beliau berkata, MWA sebagai badan peneraju industri air dan pembetungan yang dilantik oleh kerajaan memandang serius perkara itu dan menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan industri itu sekiranya kejadian terus berulang.

Tegasnya, MWA turut menyokong hasrat KASA untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas dan hukuman berat termasuk denda sehingga RM15 juta seperti yang dicadangkan dalam pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel Berkaitan:

Mohmad Asari turut berharap kerajaan memberi pertimbangan meluluskan kebenaran bertugas dan pengoperasian secara optimum semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada industri berkaitan rantaian bekalan industri air dan pembetungan.

“Tanpa perkhidmatan mereka, bekalan air yang merupakan perkhidmatan perlu mungkin berhadapan dengan masalah untuk memberikan perkhidmatan secara berterusan.

“Bagaimanapun kami sedar bahawa kebenaran ini perlu mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.