Akta pendanaan politik perlu disegerakan: Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Akta pendanaan politik perlu disegerakan bagi mengelakkan pihak tertentu mempolitikkan kes pendakwaan terhadap ahli politik yang dikaitkan salah guna dana politik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau gembira apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah positif memperkenalkan peraturan lebih berwibawa berkaitan pendanaan politik.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak serius mewujudkan peraturan tersebut.

"Saya pernah dilantik kerajaan menyertai sebuah jawatankuasa berkaitan pendanaan politik semasa era Datuk Seri Najib Tun Razak, tapi entah apa berlaku pada laporan kami sediakan.

"Semasa era Pakatan Harapan (PH) saya dilantik semula menyertai Electoral Reform Committee (ERC) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ada laporan komprehensif disediakan.

"Alhamdulillah kerajaan PN menerima laporan itu dengan baik, dan ia telah dibawa ke kabinet. Saya lihat ada pergerakan yang positif sekarang," katanya dalam hantaran di Facebook, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul dana berjumlah RM715,573.77 dalam tempoh 24 jam bagi membayar wang jaminan dikenakan terhadapnya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau mengusulkan kepada rakan-rakan dalam kabinet agar diputuskan segera pelaksanaan penambahbaikan yang dicadangkan oleh ERC termasuk dalam hal pendanaan politik.

Artikel Berkaitan:

“Jika tidak diselesaikan segera, isu Syed Saddiq mungkin menjadi lebih besar. Beliau mungkin terus cekal, tetapi lebih baik kita tutup pintu-pintu kemudaratan akibat tiada peraturan yang jelas.

“Contohnya, selain daripada kes beliau hadapi, bagaimana dengan sumbangan diraih daripada masyarakat untuk kos peguam dan ikat jamin? Adakah dana tersebut akan dikenakan cukai? Adakah ia perlu dilaporkan sebagai pendapatan individu, syarikat atau apa?

"Adakah kos peguam peribadi termasuk sebagai dana politik? Semua ini memerlukan ada satu akta yang jelas mengenai pendanaan aktiviti politik,” katanya.