X

Kindly register in order to view this article
!

Zahid jamin UMNO tidak amal politik fitnah demi menang PRU15

Zahid menulis di Facebook beliau pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikrar bahawa pihaknya tidak sesekali akan menipu rakyat dengan menyebarkan fitnah terhadap lawan politik mereka semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau memberi jaminan tersebut ketika mengulas satu komentar di Facebook yang secara sakarstik mempersoalkan mengapa UMNO berpolitik dengan memberikan fakta sedangkan fitnah dan penipuan akan memenangkan UMNO pada PRU15 kelak.

Ia sebagaimana didakwa yang dipraktikkan oleh lawan politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Ada yang menulis dan bertanya di Facebook mengapa UMNO berpolitik dengan memberi fakta. Jika memfitnah dan tipu rakyat baru boleh menang PRU15 seperti lawan politik praktikkan pada PRU14.

"Tergelak kecil membaca komen itu, namun saya faham maksudnya. Ia penulisan sarkastik.

"Tetapi ini jaminan saya sebagai Presiden UMNO. Tidak sesekali UMNO akan menipu rakyat. Apatah lagi sanggup berbohong, memfitnah dan menawarkan manifesto bukan kitab suci," katanya di Facebook beliau pada Sabtu.

Tambah Zahid, kemenangan dengan amalan politik fitnah tidak dirahmati ALLAH SWT.

Justeru ujarnya, UMNO akan terus berpegang kepada kebenaran dalam perjuangan politiknya.

"Kita perlukan keberkatan dan keredaan ALLAH SWT apabila kembali mentadbir kelak. Insya-ALLAH Yang Maha Esa membantu perjuangan penuh tulus ikhlas.

"Rakyat juga semakin matang menilai antara kebenaran dan propaganda. Sejarah mendewasakan mereka dalam memahami antara realiti dan permainan persepsi," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!