MAIPs salur RM12.8 juta bantuan Covid-19

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua,kiri) berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke- 22 tahun 2021 di Masjid Al Falah, Kampung Behor Mempelam, pada Sabtu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua,kiri) berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke- 22 tahun 2021 di Masjid Al Falah, Kampung Behor Mempelam, pada Sabtu.
A
A
A

ARAU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengagihkan sebanyak RM12,880,317 bagi keseluruhan program inisiatif Covid-19 bagi tahun 2020 dan 2021.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4,688,267 telah diagihkan MAIPs bagi tahun 2020 dan RM8,192,050 pula diagihkan untuk tahun 2021.

Titah baginda, antara inisiatif dilaksanakan ialah pembukaan Kaunter Agihan Terhad di Masjid Alwi, Program Perlis Mengaji dan Agihan Bekalan Makanan Ziarah Dakwah.

"Agihan Bantuan Khas Rangsangan Asnaf melibatkan seramai 14,679 penerima bagi tahun 2020 dan 8,179 penerima bagi tahun 2021 tanpa perlu memohon dan dikreditkan terus ke dalam akaun.

‘Selain itu, antara inisiatif lain adalah pengecualian dan pengurangan sewaan hartanah MAIPs, agihan makanan melalui kerjasama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan petugas barisan hadapan serta bantuan kecemasan MAIPs melalui masjid pada sepanjang masa," titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM12,000 sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-22 bagi tahun 2021 di Masjid Al Falah, Kampung Behor Mempelam di sini pada Sabtu.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada amil kariah tersebut Idris Ali yang mewakili 29 asnaf kariah masjid berkenaan dengan masing-masing menerima RM400 setiap seorang.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Nazim berkata, sebanyak 11 inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu mereka yang berkeperluan di negeri ini.

Menurutnya, Raja Perlis telah memperkenankan inisiatif-inisiatif berkenaan yang diterajui sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

"Semua inisiatif ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan Covid-19 selain merupakan amanah oleh para muzakki yakni penyumbang zakat yang perlu ditunaikan oleh MAIPs," katanya.