X

Kindly register in order to view this article
!

Garis Panduan Sanitasi, Disinfeksi Kemudahan Awam dan Premis diluluskan

Garis Panduan Sanitasi dan Disinfeksi Kemudahan Awam dan Premis di kawasan PBT akan diguna pakai sebagai panduan kepada PBT dan pihak berkepentingan. - Foto Fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Garis Panduan Sanitasi dan Disinfeksi Kemudahan Awam dan Premis di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diguna pakai sebagai panduan kepada PBT dan pihak berkepentingan untuk menjalankan kerja sanitasi dan disinfeksi di semua kemudahan awam dan premis di kawasan PBT.

Garis panduan itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-78 yang dipengerusikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 13 Julai lepas.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, garis panduan itu bertujuan mewujudkan keseragaman PBT dalam melaksanakan tindakan pencegahan penyakit berjangkit di tempat awam.

“Ia juga mewujudkan dasar dan tanggungjawab kepada pemilik, pemegang lesen atau pengurus premis yang mempunyai akses kepada orang awam untuk menjalankan aktiviti sanitasi dan disinfeksi secara kendiri di premis masing-masing,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut bersetuju terhadap pemakaian Garis Panduan Pengurusan Cerun di kawasan PBT bagi mewujudkan satu sumber rujukan pengurusan cerun untuk pelaksanaan yang lebih efisien dan berkualiti.

“Garis panduan ini memperjelaskan dengan terperinci penekanan kepada pengurusan cerun di kesemua peringkat bermula daripada perancangan pembangunan, reka bentuk, pembinaan, pendaftaran dan penyenggaraan,” kata kenyataan itu.

KPKT berkata, mesyuarat juga bersetuju terhadap cadangan Pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) bagi tujuan penyesuaian dengan amalan dan praktis kesenibinaan dan kejuruteraan masa kini, selain bertindak sebagai mekanisme penyelarasan standard dan garis panduan semasa, serta membolehkan dasar-dasar baru kerajaan dikuatkuasakan.

Menurut kenyataan itu, cadangan pindaan itu menyasarkan penerimaan pemakaian oleh pihak berkuasa negeri (PBN) melalui pewartaan satu undang-undang kecil untuk dikuatkuasakan oleh PBT.

Turut diluluskan pada mesyuarat berkenaan adalah pemakaian Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang boleh digunakan sebagai rujukan oleh kerajaan negeri, PBT dan pihak yang terlibat.

“Ini adalah bagi tujuan penyeragaman dan penyelarasan keperluan teknikal, prosedur permohonan dan syarat-syarat lain dalam pelaksanaan dan kawalan pembangunan penginapan pekerja berpusat di peringkat negeri dan tempatan untuk jangka masa panjang,” kata kenyataan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!