X

Kindly register in order to view this article
!

Empat suspek serang, maki polis dibebaskan

A
A

AMPANG - [DIKEMASKINI] Empat lelaki yang ditahan selepas menyerang dan menghina anggota polis di Blok F, Flat Nilam Sari di sini pada Rabu dibebaskan setelah permohonan sambungan perintah tahanan reman terhadap mereka ditolak mahkamah pada Sabtu.

Kesemua suspek yang dipercayai penganggur itu berkumpul di bawah blok berkenaan dalam keadaan mabuk dan enggan memberi kerjasama kepada anggota polis selain bertindak agresif serta mengeluarkan kata-kata kesat sebelum ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, permohonan menyambung tempoh tahanan reman keempat-empat suspek telah ditolak oleh mahkamah pada Sabtu.

“Kesemua suspek kini dalam proses dokumentasi atau jamin dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada minggu hadapan untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu

Menurut beliau, pihaknya kini masih giat mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 224 dan 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan anggota polis cedera selepas ditumbuk dan digigit ketika cuba memberkas lima lelaki yang berkumpul dalam keadaan mabuk di bawah sebuah blok di Flat Nilam Sari pada Rabu.

Kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian sekitar jam 11.10 malam itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan kekerasan.

Sehubungan itu, polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan suspek yang melarikan diri itu supaya tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Maki, tendang dan tumbuk polis ketika diberkas


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!