Penjawat awam perlu lebih responsif

A
A
A

NILAI - Setiap penjawat awam dinasihatkan supaya lebih responsif kepada keperluan dan kehendak rakyat dengan lebih berkesan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kakitangan sektor awam merupakan penggerak utama dalam organisasi dalam memacu pencapaian yang cemerlang.

Katanya, modal insan berkepakaran tinggi dan profesional adalah kunci utama kejayaan sesebuah organisasi sama sektor awam mahupun swasta.

“Kita sebagai warga kerja KKM haruslah memberikan komitmen yang jitu dalam menjalankan tugas dan juga menetapkan iltizam yang utuh untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi iaitu perkhidmatan selamat, berkesan, berpaksikan pelanggan, saksama, efisien dan menepati waktu.

“Melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini, diharapkan ia akan menjadi motivasi kepada pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan mempergiatkan daya usaha bagi mencapai produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Jasamu Dikenang 2019 Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) di Dewan Canselor USIM di sini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri JKNNS Datuk Dr Zainudin Mohd Ali.

Tambahnya kerajaan sentiasa mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam termasuk pemberian anugerah atau ganjaran.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Hasnol Zam Zam berkata, perkhidmatan awam adalah sentiasa dekat dengan rakyat.

Sehubungan itu ia perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa bersih dan berintegriti.

“Apabila menyentuh tentang integriti, fokus kita bukan hanya kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata, sama ada yang melibatkan wang ringgit atau bentuk lain, tetapi ia merupakan satu konsep yang lebih besar dan lebih meluas, demi memastikan perkhidmatan yang diberi adalah terbaik,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 940 kakitangan JKNNS dari pelbagai peringkat jawatan telah terpilih menerima APC 2018, manakala seramai 98 pesara dan bakal pesara tahun 2019 turut dirai.

Dalam perkembangan lain, Zainudin memberitahu, pihaknya mengambil keputusan selari dengan kementerian yang mewajibkan bayi baru lahir di negeri ini diberikan vaksin.

Katanya, meski pun tiada kes baru untuk penyakit Difteria ini, tetapi pihaknya akui masih ada ibu bapa yang menolak vaksin.

Terdahulu, mengikut rekod pada Julai 2016, Negeri Sembilan mempunyai tujuh kes Difteria yang dikesan dalam daerah Rembau, bagaimanapun tiada kematian dicatatkan.