Alumni SK Serdang bantu keluarga murid kurang mampu

Bantuan makanan yang diserahkan untuk diagihkan kepada murid SK Serdang daripada keluarga kurang berkemampuan.
Bantuan makanan yang diserahkan untuk diagihkan kepada murid SK Serdang daripada keluarga kurang berkemampuan.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Prihatin dengan nasib keluarga murid kurang berkemampuan dan yang terjejas akibat Covid-19, Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang tampil menghulurkan sumbangan menerusi bantuan 100 bakul makanan.

Bekas murid sekolah berkenaan, Shaik Shaszari Shaik Sulaiman berkata, pihaknya memulakan inisiatif bantuan itu dengan menghebahkan kepada bekas-bekas murid sekolah berkenaan untuk sama-sama mengumpulkan sumbangan.

Menurut beliau, pihaknya turut menerima sumbangan 20 bakul makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan tersebut.

“Bakul makanan ini diserahkan kepada Guru Besar SK Serdang, Noriza Hamid untuk diagihkan kepada murid dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

“Semoga bantuan ini sikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban ditanggung penerima,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Alumni SK Serdang dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Serdang turut membantu memohon bantuan pihak berkenaan bagi membaiki tandas sekolah berkenaan yang rosak dan tidak boleh digunakan.

Katanya, permohonan bantuan dibuat kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang dan Pejabat Daerah Tanah Petaling.

“Kini hanya menunggu proses pelantikan kontraktor bagi memulakan kerja-kerja pembaikan tandas murid yang mampu menampung penggunaan 500 murid bagi sesi pagi dan petang.

Artikel Berkaitan:

“Kerja-kerja dijangka siap sebelum September ini,” katanya.