5,000 doktor kontrak dijangka sertai protes

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara dijangka menyertai protes yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini, kata wakil Kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka.

Beliau berkata, protes tersebut akan diteruskan memandangkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan yang dibuat mereka.

Menurut Dr Umar, doktor kontrak itu akan membabitkan hospital di setiap negeri dikenal pasti termasuk dari Hospital Sungai Buloh iaitu salah satu pusat rawatan pesakit Covid-19.

“Kita mahu tunjuk kepada kerajaan bahawa isu ini serius dan sesuatu perlu dilakukan untuk menyelesaikannya. Pengumuman itu hanya satu gula-gula untuk mendiamkan kami sahaja.

“Lanjutan kontrak ini masih lagi kabur. Kami minta kriteria yang jelas bagaimana 23,000 doktor kontrak boleh diserapkan sebagai perjawatan tetap, namun masih tiada hitam putih.

“Kami tegaskan bahawa Hartal Doktor Kontrak tidak akan berhenti di sini dan kita tidak akan terpedaya dengan ‘gula-gula’ itu,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Umar turut menggesa kerajaan memanggil mereka ke meja rundingan agar persetujuan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dapat diputuskan.

Seorang lagi wakil, Dr Mohamed Yunus Hassan berkata, pengumuman dibuat perdana menteri untuk meneruskan kontrak pegawai perubatan bukanlah satu solusi untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia hari ini sangat membimbangkan kerana kekurangan kakitangan di seluruh Malaysia. Kita tidak cukup doktor dan rakyat tidak mampu untuk mendapatkan rawatan yang mahal di hospital swasta.

“Pemberian lanjutan kontrak bukan solusi. Perjawatan tetap harus diberikan kepada semua pegawai perubatan kontrak dan kriteria yang jelas harus dinyatakan supaya pegawai perubatan mempunyai hala tuju dalam kerjaya mereka,” katanya.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan protes terhadap layanan kerajaan akan diteruskan kerana tawaran menyambung kontrak seperti diumumkan Muhyiddin bersifat separuh masak.

Pada Jumaat, Muhyiddin dalam kenyataan akhbarnya berkata bahawa kabinet bersetuju supaya pegawai pebatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.