‘Lebih 5,000 orang minta bantuan daripada saya setiap bulan’

Chee Heng ketika menyerahkan bantuan kenderaan kepada seorang individu yang kehilangan kerja dan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Chee Heng ketika menyerahkan bantuan kenderaan kepada seorang individu yang kehilangan kerja dan terjejas akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

PUCHONG - Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng mendedahkan beliau menerima lebih 5,000 permohonan bantuan daripada orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 setiap bulan.

Chee Heng yang mesra dengan gelaran Uncle Kentang berkata, jumlah itu jauh berkali ganda daripada kebiasaan apabila hanya 400 ke 500 orang yang memohon bantuan setiap bulan sebelum pandemik bermula.

Menurut beliau, pihaknya memberi bantuan mengikut kesesuaian dan keperluan serta menggunakan khidmat ‘YB (Yang Berkhidmat) kecil’ yang berpengkalan di setiap negeri untuk membantu mengagihkan bantuan.

“Kita juga ada tubuhkan talian hotline yang boleh dihubungi orang ramai untuk memohon bantuan.

“Permohonan bantuan kita terima dari seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Presiden Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia ditemui ketika menyerahkan bantuan kenderaan kepada seorang lelaki yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Chee Heng berkata, beliau dihubungi beberapa ibu tunggal dan penganggur yang tidak mempunyai kenderaan, namun mempunyai semangat mencari rezeki yang tinggi.

“Kita beri kenderaan ini yang kita sewa daripada syarikat-syarikat sewa kereta yang hampir gulung tikar untuk membantu golongan ini.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, sudah tiga ibu tunggal dan seorang penganggur telah dibantu. Kenderaan ini boleh digunakan mereka secara percuma selama enam bulan.

“Kita mahu keadaan mereka stabil dulu, kalau mereka mampu barulah bayar sewa,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada individu yang dibantu berkata, dia memohon bantuan daripada Chee Heng selepas hilang mata pencarian akibat diberhentikan kerja sebagai pengurus jualan tahun lalu.

Katanya, dia yang sudah keputusan wang dan menjaga nenek sakit tidak mempunyai kenderaan untuk bekerja lantas memohon bantuan ditawarkan Chee Heng.

“Saya nak buat servis penghantaran barang tapi tak ada pengangkutan, saya ucap terima kasih kepada Uncle Kentang kerana tolong saya bayarkan kos sewa kereta untuk digunakan.

“Bolehlah saya mulakan hidup baharu semula,” katanya.