Sultan Johor kurnia bantuan kepada mangsa ribut

David Wong (kanan) menyampaikan bantuan Sultan Johor kepada mangsa ribut di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Sabtu.
David Wong (kanan) menyampaikan bantuan Sultan Johor kepada mangsa ribut di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor mengurniakan 562 kotak keperluan makanan dan kotak mi segera menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada mangsa ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Sumbangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu disampaikan Mejar Cina, Datuk David Wong kepada keluarga mangsa ribut yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili pada Sabtu.

Bantuan itu disampaikan 12 jam selepas kejadian dan sumbangan makanan daripada Sultan Johor turut diberikan kepada keluarga yang ditempatkan di PPS berkenan.

Seorang penerima, Mohd Faizal Mat Teh, 30, berkata, kediamannya terjejas teruk akibat dipukul ribut dan kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudara.

"Ibu dan kakak pula berada di PPS kerana barangan dalam rumah rosak manakala sebahagian struktur rumah pula tumbang.

"Memang kami tidak mampu membaiki keseluruhan rumah ini kerana hanya bekerja kampung," katanya ketika ditemui.

Seorang penduduk melihat keadaan rumah yang rosak terutama bahagian atap selepas dipukul ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Sabtu.
Seorang penduduk melihat keadaan rumah yang rosak terutama bahagian atap selepas dipukul ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Sabtu.

Mohamad Faizal turut menjunjung kasih di atas kurniaan bantuan makanan daripada Sultan Johor.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada jam 3 petang Jumaat, hujan lebat dan angin kencang merosakkan 291 rumah terutama bahagian atap dan garaj kereta.

Kampung yang terlibat Kampung Sri Gading; Kampung Teluk Jeri; Kampung Teluk Jeri Luar; Kampung Teluk Jeri Dalam; Kampung Tanah Putih; Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar.

Ribut berkenaan turut mengakibatkan lebih 20 pokok tumbang sehingga merintangi jalan raya namun tidak melibatkan kecederaan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari; ADUN Sedili Rasman Ithnain dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil turut melawat PPS tersebut pada Sabtu.

Hasni turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi membantu penduduk yang terjejas, setiap keluarga akan menerima RM5,000 hingga RM15,000 berdasarkan nilai kerosakan harta benda dan rumah masing-masing.