'Mama sayang adik sampai bila-bila'

Gambar mangsa (duduk kanan) bersama abangnya yang berusia tiga tahun. - Foto ihsan media sosial, Jenazah Muhammad Danial Iqwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Lama, pada Sabtu.
Gambar mangsa (duduk kanan) bersama abangnya yang berusia tiga tahun. - Foto ihsan media sosial, Jenazah Muhammad Danial Iqwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Lama, pada Sabtu.
A
A
A

REMBAU - Ibu kepada kanak-kanak yang maut akibat dipatuk ular dalam kejadian di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir di sini pada Jumaat lalu sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

Ibu berkenaan, Nurul Diyana Awang, 33, berkata, anaknya Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, setahun lima bulan merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia bagai hilang arah apabila mendapati ada kesan patukan ular di tangan anaknya.

"Sebaik kejadian, saya segera bawa adik (panggilan untuk Muhammad Danial Iqwan) ke Hospital Rembau dan hati saya berdebar-debar setiap kali doktor memaklumkan perkembangan dia sehinggalah adik disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi Sabtu.

"Kejadian ini benar-benar memberi kesan mendalam dan sehingga kini saya masih terbayang gelak ketawa dan keceriaannya. Bagaimana pun saya reda dan adik... mama sayang adik sampai bila-bila," katanya ketika ditemui di Hospital Rembau pada Sabtu.

Nurul Diyana menunjukkan arwah anaknya (duduk kanan) bersama abangnya yang berusia tiga tahun.
Nurul Diyana menunjukkan arwah anaknya (duduk kanan) bersama abangnya yang berusia tiga tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 17 bulan maut dipatuk ular

Nurul Diyana berkata, sementara waktu ini mereka sekeluarga akan tinggal di rumah ibunya di Kampung Seberang Masjid Lama, Rembau kerana dia masih trauma selain menunggu emosinya kembali pulih.

Jelasnya, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Lama, Seberang Batu Hampar, Rembau pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa dan didapati punca kematiannya adalah disebabkan dipatuk oleh ular berbisa.

"Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah memeriksa kediaman berkenaan, namun tidak menemui ular berbisa dan jenis ular berbisa berkenaan juga masih belum dapat dikenal pasti," katanya.

Sebelum itu, Hazri berkata, ketika kejadian lebih kurang jam 9 malam, mangsa sedang bermain dengan abangnya yang berusia tiga tahun di bilik tidur utama dan ibunya turut berada dalam bilik tersebut.

"Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba menjerit sebelum ibunya melihat ada seekor ular masuk ke dalam lubang di bilik tersebut.

"Ibunya mendapati terdapat kesan patukan ular di tapak tangan sebelah kiri anaknya lalu membawanya ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia jam 1 pagi Sabtu," katanya.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.