Bukit Fraser perintis gelembung pelancongan di Pahang

Mohd Sharkar (tengah) turut menyumbang lima kerusi roda untuk kegunaan orang ramai di PPV Lanchang.
Mohd Sharkar (tengah) turut menyumbang lima kerusi roda untuk kegunaan orang ramai di PPV Lanchang.
A
A
A

TEMERLOH - Lokasi pelancongan terkenal, Bukit Fraser di Raub akan menjadi perintis gelembung pelancongan di negeri ini berikutan penggiat pelancongan dan penduduk sekitar selesai menerima dos kedua vaksinasi Covid-19 pada Sabtu.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sektor pelancongan di Pahang sudah sedia dibuka secara berperingkat bermula awal bulan depan.

Menurutnya, buat permulaan, gelembung pelancongan akan dimulakan di Bukit Fraser kemudian disusuli Pulau Tioman di Rompin.

"Macam di Bukit Fraser, semua pemain industri dan penduduk kawasan berkenaan dijangka selesai menerima dos kedua vaksin Covid-19 masing-masing hari ini.

"Saya dimaklumkan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berada di sana (Bukit Fraser) bagi memantau proses berkenaan dan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang boleh digunakan untuk membuka semula sektor pelancongan di sana," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau ditemui sempena pelancaran perkhidmatan bas percuma sekali gus perasmian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lanchang.

Ujarnya, penggiat dan penduduk di Pulau Tioman dijadualkan menerima vaksin dos kedua bermula 27 Julai ini.

"Ini maknanya mereka juga boleh membuka (sektor pelancongan) selepas itu, dengan SOP yang akan dimuktamadkan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sharkar berkata, semua SOP membabitkan pembukaan sektor pelancongan di Bukit Fraser dan Pulau Tioman akan digunakan sebagai rujukan bagi pembukaan sektor pelancongan di lokasi lain.

Tambahnya, pembukaan semula sektor pelancongan melalui gelembung pelancongan seperti disarankan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bagi memastikan semua pemain industri pelancongan dapat terus beroperasi.

"Proses pembukaan (sektor pelancongan) ini akan disusuli kawasan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri yang lain.

"Kita melihat perkara ini sangat penting bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara," jelasnya.