24 kontena mengandungi buangan kertas cuba dibawa masuk di NBCT

Pegawai JAS ketika melakukan pemeriksaan di NBCT pada Jumaat.
Pegawai JAS ketika melakukan pemeriksaan di NBCT pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH – Sebanyak 24 buah kontena dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang mengandungi buangan kertas dikesan cuba dibawa masuk ke Pulau Pinang melalui Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kesemua kontena yang dibawa masuk tanpa mendapat surat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dibuat mendapati pengimport tidak ada fasiliti penerima yang memiliki Lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan serta tiada Lesen Pengilang (Manufacturing License) daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kegagalan pengimport untuk mendapatkan kelulusan-kelulusan terlebih dahulu di premis penerima boleh membawa implikasi negatif seperti kemungkinan berlaku pelupusan sampah secara haram, pemprosesan sisa secara haram, pembakaran terbuka serta lain-lain kacau ganggu.

"Proses kitar semua di premis haram boleh menyebabkan isu pencemaran yang serius, memandangkan operasi kitar semula kertas terpakai memerlukan kuantiti air yang banyak sehingga 45 meter padu air bagi setiap satu tan metrik kertas dan akan turut menghasilkan air sisa atau effluen yang banyak serta boleh mencemarkan parit dan sungai jika tidak dirawat terlebih dahulu.

"Mengikut perundangan, efluen perindustrian perlu dirawat terlebih dahulu sehingga mematuhi had piawaian yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 sebelum dilepaskan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Berikutan itu, Sharifah Zakiah berkata, arahan pemulangan semula kesemua 24 kontena ke negara asal dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, secara umum terdapat peningkatan kemasukan buangan sisa pepejal (solid wastes) yang ketara, termasuk buangan kertas, sejak negara China telah mengumumkan larangan mutlak ke atas semua jenis buangan sisa pepejal bermula 01 Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada awalnya negara tersebut menguatkuasakan larangan ke atas buangan plastik bermula 01 Januari 2017, diikuti pelan dinamakan sebagai 'Prohibition of Foreign Garbage Imports: The Reform Plan on Solid Waste Import Management' dikuatkuasakan pada 27 Julai 2017 bagi melarang 24 jenis buangan sisa pepejal termasuk buangan plastik.

"Hal ini menyebabkan pemain-pemain industri yang kebiasaannya mengimport buangan ke negara China telah berpindah operasi ke negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

"Bagaimanapun, operasi-operasi pengimport dan premis penerima ini sering kali tidak mematuhi pelbagai peruntukan perundangan negara ini.

"Masalah pengimportan ini perlu ditangani dengan serius kerana buangan yang diimport masuk melalui NBCT juga mungkin dibawa ke negeri-negeri lain bagi tujuan pemprosesan atau pelupusan secara haram," katanya.