Khidmat keselamatan: KPM nafi dakwaan PIKM

KPM
KPM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan dengan tegas menafikan dakwaan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) bahawa pihaknya tidak menyambung kontrak syarikat-syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang telah tamat tempoh perkhidmatan akhir tahun lalu.

Sebaliknya Kementerian Pendidikan berkata, kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu telah ditender semula mengikut keperluan semasa kementerian.

"Kontrak yang ditender semula telah disertai oleh syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa seperti bilangan syif dan pekerja," kata kementerian menerusi kenyataan media lewat petang ini.

Antara syarikat-syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada Kementerian Pendidikan sebelum ini juga menyertai proses tender, katanya sambil menambah, "segala proses tender telah dijalankan secara adil, telus dan penuh berintegriti."

Kementerian Pendidikan mengulas satu laporan media yang memetik PIKM, yang menggesa supaya dikaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.

Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapa Ali berkata, terma kontrak tersebut menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.

Sebaliknya menurut Kementerian Pendidikan, memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga yang ditawarkan, maka adalah tidak adil untuk menganggap pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengawal-pengawal yang diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada kementerian tersebut.

"Kementerian Pendidikan sekali lagi ingin menegaskan bahawa penawaran kontrak baharu bagi perkhidmatan berkaitan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan Kementerian Pendidikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Kementerian Pendidikan menambah, pihaknya tidak terlibat dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan merupakan perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta.

"Ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan," katanya. Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab, Kementerian Pendidikan menegaskan, ia tidak pernah menganiaya mana-mana pihak dalam perkara ini, malah ia juga tidak pernah menamatkan 12,000 orang pengawal keselamatan sebagaimana didakwa oleh PKIM.

"Kementerian juga prihatin ke atas kebajikan pengawal-pengawal keselamatan terbabit, dan oleh itu telah menasihatkan syarikat-syarikat keselamatan agar turut memastikan kebajikan pekerja masing-masing dijaga," kata kementerian.