Tiang gentian optik di tengah lorong sukarkan penduduk

Keadaan tiang gentian optik yang dipasang di lorong belakangTingkat Perpaduan 3, Taman Perpaduan. (Gambar kecil: S Lingam)
Keadaan tiang gentian optik yang dipasang di lorong belakangTingkat Perpaduan 3, Taman Perpaduan. (Gambar kecil: S Lingam)
A
A
A

IPOH - Pemasangan tiang gentian optik bagi tujuan capaian internet jalur lebar di Taman Perpaduan, Hulu Kinta di sini sejak lebih sebulan lalu dipersoalkan penduduk apabila ia menyukarkan pergerakan mereka.

Ini kerana kerja-kerja pemasangan tiang oleh sebuah syarikat telekomunikasi itu dilakukan di tengah laluan lorong belakang rumah penduduk hingga menghalang kenderaan ringan daripada melaluinya.

Penduduk, Zahari Zain, 61, berkata, keadaan sama berlaku di hampir keseluruhan lorong di taman berkenaan.

Menurutnya, pada mulanya mereka mempersoalkan tapak pemasangan tiang itu yang dibuat di tengah laluan, namun terpaksa berdiam apabila dimaklumkan ia telah mendapat kelulusan.

"Baru-baru ini kami dapat makluman yang taman-taman berhampiran juga terlibat dalam pemasangan tiang optik ini, tetapi apabila diselidiki semua tiang dipasang di bahagian tepi. Tidak seperti yang dilakukan di taman ini.

"Jadi kami agak musykil kenapa perkara ini boleh berlaku kerana secara tidak langsung sudah menghalang laluan ini daripada digunakan," katanya.

S Lingam, 46, pula berkata, lorong belakang itu sering digunakan untuk penghantaran gas memasak dan lain-lain keperluan barangan dapur yang dipesan penduduk dari kedai berhampiran.

Katanya, sebahagian besar penduduk juga menggunakan laluan itu sebagai jalan pintas keluar dari rumah menggunakan kenderaan ringan seperti basikal dan motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang lorong ini sudah jadi sempit dan bahaya untuk digunakan, motosikal bawa gas pun sudah tidak boleh lalu kerana dalam satu lorong ada sampai empat tiang dipasang dan semuanya di tengah laluan," katanya.

Aduan berkaitan perkara itu disuarakan kepada Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman.

Hamidah (kanan) melihat tiang gentian optik yang dipasang di tengah lorong belakang rumah di Taman Perpaduan di sini yang menyebabkan laluan itu terhalang dan sempit.
Hamidah (kanan) melihat tiang gentian optik yang dipasang di tengah lorong belakang rumah di Taman Perpaduan di sini yang menyebabkan laluan itu terhalang dan sempit.

Hamidah berkata, berdasarkan maklumat penduduk, kerja-kerja pemasangan tiang itu masih lagi berjalan dan sebahagiannya telah pun selesai.

"Kita minta pihak berkaitan teliti semula tapak pemasangan ini dan mana-mana tiang yang telah dipasang dapat diubah semula bagi menjamin keselesaan dan keselamatan semua pihak," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, satu perbincangan akan dilakukan bersama syarikat telekomunikasi terbabit berhubung perkara itu, minggu hadapan.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah mengambil maklum aduan dibuat penduduk dan sedang mencari penyelesaian terbaik bagi semua pihak.

"Perbincangan bersama pihak syarikat itu nanti untuk mencapai kaedah terbaik di tapak yang mana pihak syarikat dan penduduk kurang terjejas dengan masalah yang timbul," katanya.