Lebih 10 bendera putih berkibar di Semenyih

Dari kanan: Ahmad Soffian, Pengarah Urusan Qnin Inspired, Muhammad ‘Abduh dan Zakaria menyerahkan bakul makanan kepada penerima di Taman Sri Haneco, di sini pada Sabtu.
Dari kanan: Ahmad Soffian, Pengarah Urusan Qnin Inspired, Muhammad ‘Abduh dan Zakaria menyerahkan bakul makanan kepada penerima di Taman Sri Haneco, di sini pada Sabtu.
A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMAS KINI] Lebih 10 bendera putih dilaporkan berkibar di hadapan rumah di sekitar daerah ini sejak kempen tersebut bermula pada awal Julai lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, kebanyakan penghuni rumah mengibarkan bendera putih kerana terputus bekalan makanan kerana tidak boleh keluar rumah atau terlantar sakit.

Menurut beliau, pihaknya sering memberikan bantuan bakul makanan kecemasan kepada isi rumah yang terkesan atau menyalurkan sejumlah wang untuk membantu ringankan perbelanjaan harian.

Namun begitu, Zakaria berkata, jumlah bendera putih yang berkibar di sekitar sini berkurangan sejak pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan agensi lain membantu penduduk sekitar yang terkesan akibat Covid-19.

"Kini jumlah bendera putih dikibarkan di hadapan rumah menurun kerana ada banyak NGO, syarikat korporat, agensi dan jiran-jiran sekitar lain yang membantu golongan itu.

"Kita tahu kawasan Semenyih berada dalam zon merah yang mana ramai orang perlu dibantu, jadi saya mengalu-alukan semua pihak untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 di sini," katanya ketika serahan bakul makanan dibuat di Taman Sri Haneco di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Pengerusi Syarikat Deseo De Belleza, Ahmad Soffian Kamaruzaman berkata, pihaknya bersama syarikat Qnin Inspired menjalankan serahan bakul makanan kepada penduduk sekitar sini sejak minggu lalu dari pintu ke pintu.

Namun menurutnya, serahan pada Sabtu dijalankan secara pandu lalu di tiga kawasan di sini iaitu di Taman Sri Haneco, Taman Bukit Tanjung dan Semenyih Indah melibatkan lebih 100 penerima yang didapati terkesan akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara barang yang diberi ialah telur, tepung, minyak masak, beras, gula, garam, sardin dalam tin dan lain-lain.

"Kami mengesan individu-individu tersebut melalui ahli jawatankuasa yang dilantik untuk mencari mereka.

"Inisiatif ini akan diteruskan, malah selepas ini mungkin kita akan ke pasar-pasar dan kawasan lain di sekitar Semenyih," katanya.