Ahli Lembaga Pengarah TNB lulus geran RM1.63 juta untuk WTP

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) meluluskan geran sepadan berjumlah RM1.63 juta untuk Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi membolehkan lebih ramai golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 menerima manfaat.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih RM1.63 juta disumbangkan warga kerja TNB secara sukarela kepada Tabung WTP melalui potongan gaji Jun dan Julai termasuk pengurusan tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah.

“Ia melepasi sasaran RM1.5 juta ditetapkan pada tarikh tabung ditutup iaitu 12 Julai,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, keprihatinan warga kerja TNB berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan terserlah dengan jumlah kutipan melebihi sasaran awal.

Katanya, warga TNB peka terhadap golongan yang dilanda kesusahan dan tertekan akibat pandemik Covid-19 termasuk hilang pekerjaan bagi menyara keluarga.

“Pengurusan Tertinggi dan Presiden Kesatuan/ Yang Dipertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai kaedah warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan ikhlas.

“Sebagai perangsang usaha murni ini, Ahli Lembaga Pengarah bersetuju menggandakan jumlah kutipan meningkat pada RM3.26 juta," katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kejayaan itu melambangkan budaya TNB yang prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan dalam usaha membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi menyokong usaha PPN, TNB menumpu kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

“Sejak awal tahun ini TNB menghulurkan pelbagai bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan, keperluan asas serta wang saku.

“TNB turut sama menjayakan program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajaan RM2 juta.

“Program membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima mendapat tajaan daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan, Pengarah Projek (PMO Electric Vehicle) Bahagian Strategy Venture, Ir. Mohd Junaizee Mohd Noor berkata, warga kerja TNB berterima kasih kepada Lembaga Pengarah atas kelulusan geran tambahan itu.

Beliau berkata, kelulusan itu menzahirkkan nilai keprihatinan tinggi warga kerja TNB daripada segenap lapisan.

Dalam pada itu, salah seorang daripada 2,189 penerima Tabung WTP, Suganthi Rajasegaran berkata, sumbangan TNB membolehkannya membeli ubat-ubatan dan susu untuk anak yang mengalami masalah tulang akibat kemalangan.

“Bila saya dapat beli keperluan ini untuk anak yang sudah lama terhenti, saya rasa bersemangat untuk bangun keluar dari kesusahan hidup. Saya ucapkan terima kasih kepada TNB,” luahnya.