Seorang lagi pegawai daerah ditahan SPRM

Kedua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Kedua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua individu masing-masing pegawai daerah dan juruukur bahan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kartel projek di empat daerah di Selangor.

Menurut sumber, dua individu tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 9 dan 10 malam pada Khamis ketika hadir memberi keterangan.

"Kedua-dua lelaki berkenaan direman lima hari bermula hari ini (Sabtu) selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya," katanya.

Menurut sumber itu lagi, mereka dipercayai bersekongkol dengan syarikat kontraktor yang dipercayai kartel bagi membolot beberapa projek bernilai puluhan juta ringgit sekurang-kurangnya di empat daerah di Selangor sejak tahun 2012.

"Dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat boleh memperoleh pelbagai projek bernilai anggaran RM20 juta.

"Difahamkan, terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek -projek tersebut termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya merupakan kroni atau proksi," menurut sumber itu.

Tambahnya, suspek pertama direman selepas dipercayai menerima suapan dianggarkann kira-kira RM125,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan.

"Suapan itu adalah sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan dan lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhan nilai projek-projek tersebut berjumlah kira-kira RM3 juta. Suspek kedua iaitu juruukur bahan dipercayai memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek selain wang tunai dianggarkan RM90,000 dan sebuah basikal bernilai RM3,000.

"Suspek dipercayai membocorkan maklumat-maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja-kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain di Selangor,katanya.

Pada Jumaat, tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran ditahan.

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM tahan kontraktor, dua pegawai daerah