X

Kindly register in order to view this article
!

Individu 51 tahun ke atas mangsa tertinggi Macau Scam

Individu berumur 51 tahun dan ke atas antara mangsa tertinggi Macau Scam yang dicatatkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2019. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Individu berumur 51 tahun dan ke atas antara mangsa tertinggi Macau Scam yang dicatatkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, statistik menunjukkan daripada 5,535 mangsa yang terlibat, individu dalam usia itu dicatatkan seramai 1,621 orang atau 29.3 peratus.

Menurutnya, mangsa lingkungan umur 41 hingga 50 tahun pula seramai 17.8 peratus diikuti mereka yang berumur 31 hingga 40 tahun (25.3 peratus), 21 hingga 30 tahun (26.2 peratus) dan bawah 20 tahun (1.5 peratus)

"Berdasarkan analisis, mereka yang berumur 51 tahun dan ke atas cenderung menjadi mangsa penipuan kerana kurang informasi serta perkembangan kes penipuan yang berlaku selain faktor kedudukan ekonomi.

"Golongan ini lazimnya mempunyai aliran kewangan yang stabil selain wang simpanan untuk hari tua atau persaraan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan ketika persaraan hilang akibat ditipu.

Gambar kecil: Mohd Kamarudin
Gambar kecil: Mohd Kamarudin

Perlunya komunikasi dalam kalangan ahli keluarga menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan ini.

"Anak-anak disarankan memaklumkan pengetahuan yang diperoleh kepada ibu bapa supaya jenayah ini dapat dihapuskan," katanya.

Mohd Kamarudin turut memaklumkan sejumlah 5,527 kes penipuan Macau Scam melibatkan kerugian berjumlah lebih RM328 juta direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Sejumlah 2,466 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM12,855,100.39 manakala 2,247 kes pada tahun 2020 dengan nilai kerugian RM172,710,823.64 dan 814 kes sepanjang Januari hingga Jun 2021 dengan nilai kerugian RM33,344,911.02," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!