200 pemandu teksi KLIA terima sumbangan barangan dapur

Sumbangan infaq rezeki berbentuk barangan keperluan asas dapur kepada 200 pemandu teksi di KLIA.
Sumbangan infaq rezeki berbentuk barangan keperluan asas dapur kepada 200 pemandu teksi di KLIA.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 200 pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima sumbangan infaq rezeki berbentuk barangan keperluan asas dapur bagi meringankan beban golongan berkenaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Agihan infaq rezeki berjumlah RM16,000 itu merupakan kerjasama antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kingz Motorcycle Group, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM).

Agihan tersebut turut melibatkan jalinan kerjasama dan tajaan beberapa organisasi seperti Gerbang Sumbangan Sdn Bhd, Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan Satria Intelligence Agency Sdn Bhd.

Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pemandu teksi merupakan golongan yang tidak terkecuali berdepan dengan situasi sukar, malah masing-masing sangat memerlukan sumbangan bantuan dengan segera terutama mereka yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40.

“Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama-sama menghadapinya dan membantu saudara kita yang memerlukan.

“Justeru, PPIM bersama beberapa organisasi, penaja dan penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Operasi (Unit Kebajikan PPIM), Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, bentuk bantuan yang diberikan adalah barangan asas keperluan dapur.

“Kami mahu pemandu teksi dan penerima manfaat infaq rezeki ini merasakan ada yang masih peduli dan sayang kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Melalui jalinan kerjasama daripada pelbagai agensi ini juga secara tidak langsung akan memberikan impak yang positif dan kami sentiasa membuka ruang kepada mereka yang ingin bersama-sama dalam misi bantuan infaq rezeki ini.

“Dana bagi gerak kerja ini dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai menerusi platform secara dalam talian iaitu sumbangan.com,” katanya.