Pantau pematuhan SOP pengusaha, pemandu, penumpang bas

Pemeriksaan turut dilakukan terhadap pemandu bas bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan. - Foto Facebook JPJ Pahang
Pemeriksaan turut dilakukan terhadap pemandu bas bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan. - Foto Facebook JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 338 notis saman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan sepanjang Ops Patuh Covid-19 pada Rabu hingga Jumaat.

Dalam operasi itu, sebanyak 995 kenderaan diperiksa termasuk 434 kenderaan persendirian, 31 kenderaan perkhidmatan awam dan 530 kenderaan barangan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pihaknya turut melaksanakan Ops Patuh Covid-19 bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) membabitkan pengusaha, pemandu dan penumpang bas.

Menurutnya, ia selaras dengan penurunan kuasa kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada pegawai agensi itu.

Kamarul Iskandar bersama pegawainya memeriksa penumpang bas sempena Ops Patuh Covid-19 di TSK, pada Jumaat.- Foto Facebook JPJ Pahang
Kamarul Iskandar bersama pegawainya memeriksa penumpang bas sempena Ops Patuh Covid-19 di TSK, pada Jumaat.- Foto Facebook JPJ Pahang

"Susulan itu, Bahagian Penguat kuasa serta Unit Keselamatan Jalan Raya (UKJR) JPJ Pahang telah melaksanakan Ops Patuh Covid-19 dengan kerjasama Unit Inspektorat Dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) pada Jumaat," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Turut serta dalam operasi ialah Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Asmahanu Ibrahim bersama 10 anggota.

Kamarul Iskandar berkata, UKJR turut menyampaikan advokasi kepada pemandu bas sebagai usaha berterusan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Ops Patuh Covid-19 akan diteruskan dari masa ke masa sehingga tamat tempoh penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).