Lelaki diterkam harimau belang semakin pulih

Adin sebelum ini mengalami luka di bahagian lengan kanan dan kiri serta mata. - Foto Awani
Adin sebelum ini mengalami luka di bahagian lengan kanan dan kiri serta mata. - Foto Awani
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Mangsa orang asli serangan harimau belang, Adin Andok, tetap bersemangat untuk kembali bekerja di kebun ubi kayu miliknya di Kampung Badak, Pos Bihai, dekat sini setelah pulih daripada kecederaan akibat pergelutan dengan haiwan liar itu, awal bulan ini.

Adlin, 48, berdepan detik cemas, apabila diserang seekor harimau belang betina dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di kebun ubi kayu, di sini pada 4 Julai lepas.

Meskipun mengalami kecederaan parah, Adin berkata, beliau tidak lemah semangat selepas kejadian itu kerana berkebun merupakan sumber pendapatannya untuk menyara kehidupan keluarga di kampung berkenaan.

"Apapun, saya akan lebih berwaspada apabila memasuki kebun ubi kayu...takut-takut ada harimau lain pula yang datang ke kebun saya.

"Mungkin selepas ini, saya akan bawa sekali anak lelaki ke kebun untuk menemani," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Transit Pesakit Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini pada Sabtu.

Adin ditempatkan di pusat transit berkenaan selepas sembilan hari menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan masih menunggu rawatan susulan.

Bercerita lanjut, Adin berkata, 'pertarungan' untuk menyelamatkan nyawanya itu mengakibatkan beliau mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya termasuk kepala, dada, mata kiri, kedua-dua lengan dan betis kiri.

Katanya, pergelutan dengan haiwan tersebut berlaku selama kira-kira 10 minit sehingga beliau terpaksa menetak kepala harimau belang itu menggunakan golok miliknya sebelum berjaya melepaskan diri daripada cengkaman haiwan liar berkenaan dan diselamatkan penduduk dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak sangka berdepan detik cemas itu kerana tiba-tiba sahaja haiwan itu menerkam ketika sedang berkebun. Saya nekad melawan harimau itu tanpa memikirkan kesannya kerana ketika itu, saya hanya terbayangkan maut,” katanya yang bersyukur masih hidup dan menambah ia merupakan kejadian pertama berdepan dengan harimau.

Dalam kejadian itu, Adin ke kebunnya seorang diri sebelum menyedari terdapat kesan tapak kaki besar dipercayai harimau sebelum secara tiba-tiba haiwan itu muncul di depan matanya ketika sedang meneliti kesan tapak kaki tersebut dan beliau terus diterkam haiwan liar itu.

Susulan kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak memasang perangkap dan harimau belang itu berjaya ditangkap pada 15 Julai lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki tetak harimau belang untuk selamatkan diri

ARTIKEL BERKAITAN:'Syamilla Bihai' semakin pulih

ARTIKEL BERKAITAN:Harimau belang masuk perangkap di Pos Bihai