KPM digesa tambah baik PdPR untuk kurangkan tekanan

KPM digesa melakukan beberapa penambahbaikan atau menggunakan strategi lebih berkesan, bagi mengurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa ekoran pelaksanaan PdPR.
KPM digesa melakukan beberapa penambahbaikan atau menggunakan strategi lebih berkesan, bagi mengurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa ekoran pelaksanaan PdPR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) digesa melakukan beberapa penambahbaikan atau menggunakan strategi lebih berkesan, bagi mengurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa ekoran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Dr Hazli Zakaria berkata, walaupun sudah ada yang mula selesa dengan PdPR, perhatian tetap perlu diberikan kepada mereka yang masih berusaha menyesuaikan diri dengan kaedah itu.

Pakar Psikiatri Klinik Pakar Alaminda itu memberitahu Bernama, pihak yang bermasalah perlu dibantu dengan cara yang sesuai dan antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan mendapatkan maklumat tepat, berhubung pengalaman mereka yang melalui PdPR.

"Kita kena ambil tahu daripada akar umbi yang merangkumi pelajar, ibu bapa, guru dan pentadbir.

Kesemuanya kena beri maklumat, kerana inilah data yang amat berguna dan kaya dari segi potensi untuk diguna pakai, bagi penambahbaikan kualiti pembelajaran di negara kita,” katanya sambil menekankan pemberi maklumat mestilah dipastikan tidak terjejas.

Selain itu beliau berkata, KPM juga harus mengambil kira perbezaan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar, kerana setiap sekolah mempunyai situasi yang unik dan dengan hanya maklumat yang tepat, akan dapat melancarkan pelaksanaan PdPR.

Mengakui polisi digariskan KPM sudah cukup baik, namun pada pendapat beliau, pelaksanaan polisi itu haruslah lebih spesifik dan tepat kepada sasaran bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

"Saya pasti mereka (kerajaan) sedaya upaya memberikan perubahan yang terbaik untuk semua yang terlibat, tetapi saya rasa ia (bagi mencapai objektif) memerlukan platform yang lebih telus agar semua pihak boleh berkongsi.

"Kita melihat ini sebagai satu cara untuk kita bermuafakat daripada kita mencari kesalahan, dan menyebabkan tidak berlaku proses perubahan yang kita harapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Hazli turut menasihati pihak yang terlibat dengan pelaksanaan PdPR, supaya tidak mengharapkan kerajaan sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka, kerana usaha menambah baik pengajaran dan pembelajaran memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap KPM tidak sensitif atau mudah terasa dengan keluhan pihak yang kurang senang dengan pelaksanaan PdPR, sebaliknya menerima kenyataan bahawa negara berada dalam keadaan yang belum pernah dialami sebelum ini, justeru sesuatu sistem baharu memerlukan banyak kaedah, bantuan serta sokongan.

Menurutnya, semua pihak termasuk KPM, perlu menggunakan peluang menerusi pelaksanaan PdPR untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, bagi menghasilkan pelajar bermutu tinggi, tahu menggunakan ilmu dan bukan sekadar mendapat keputusan baik dalam peperiksaan.

"Sayangnya, walaupun dalam keadaan begini (pandemik Covid-19), kita masih taasub dengan keputusan berapa A yang perlu dihadiahkan kepada sekolah, guru dan ibu bapa. Kita kena lihat keadaan ini dan ambil kesempatan, cuba ubah tentang apa yang kita cuba capai pada masa ini,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini, mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept berdasarkan kadar vaksinasi guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Ibu bapa tertekan urus PdPR anak

ARTIKEL BERKAITAN:PdPR kekal bagi semua murid lima negeri Fasa 2 PPN