Wujudkan semula laluan penerbangan KL- Frankfurt

Datuk Mohamaddin Ketapi
Datuk Mohamaddin Ketapi
A
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat keperluan mewujudkan semula laluan penerbangan Kuala Lumpur–Frankfurt berikutan peningkatan minat kedatangan pelancong Eropah ke Malaysia, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurutnya, dalam pertemuannya dengan warga Eropah ketika lawatan kerja ke Eropah baru-baru ini, mereka menyatakan kesukaran untuk terbang ke Malaysia kerana tiada penerbangan terus malahan ada yang terpaksa transit lebih daripada sekali sebelum tiba di negara ini.

“Dengan peningkatan kedatangan pelancong dari benua tersebut (Eropah), saya kira terdapat keperluan yang menjanjikan keuntungan kepada syarikat penerbangan dalam dan luar negara untuk memulakan laluan tersebut," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas menerima kunjungan Duta Jerman di Malaysia Nikolaus Count Lamsdorff di pejabatnya di sini hari ini, Mohamaddin berkata pelancong dari Jerman menunjukkan peningkatan pada tahun lepas sebanyak 17.4 peratus berbanding pada 2017 iaitu seramai 109,816 orang.

Beliau berkata peningkatan tidak hanya dicatat di kalangan pelancong Jerman sahaja malah dari negara sekitarnya.

"Angka tersebut akan lebih meningkat selepas ini jika mereka dapat melakukan penerbangan terus ataupun penerbangan dengan satu transit untuk ke Malaysia,” katanya.

Mohamaddin berkata Lamsdorff dalam pertemuan itu turut bersetuju jika laluan Kuala Lumpur-Frankfurt dibuka semula.

Menurutnya, Lamsdorff turut berkongsi keluhan warga Jerman dan Eropah amnya berhubung tempoh perjalanan yang memakan masa untuk ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan mereka, Mohamaddin dan Lamsdorff turut membincangkan berkenaan promosi pelancongan kedua-dua negara termasuk promosi eko pelancongan negara.

Pertemuan tersebut dilihat signifikan kerana Malaysia menjadi rakan rasmi International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 di Berlin bulan depan.

"Platform terbabit akan digunakan sebaiknya bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020,” kata Mohamaddin.- Bernama