JAS tingkat penguatkuasaan cegah pembakaran terbuka

JAS meningkatkan aktiviti mencegah pembakaran terbuka dan penguatkuasaan ke atas kilang serta kenderaan motor bagi menangani pencemaran udara semasa cuaca panas dan kering ketika ini. - Gambar hiasan
JAS meningkatkan aktiviti mencegah pembakaran terbuka dan penguatkuasaan ke atas kilang serta kenderaan motor bagi menangani pencemaran udara semasa cuaca panas dan kering ketika ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan aktiviti mencegah pembakaran terbuka dan penguatkuasaan ke atas kilang serta kenderaan motor bagi menangani pencemaran udara semasa cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, dalam keadaan cuaca kini, potensi berlakunya pembakaran terbuka di kawasan yang mudah dan sering terbakar adalah sangat tinggi seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

"Berdasarkan rekod aduan dan rondaan JAS, sebanyak 418 kes pembakaran terbuka dikesan bulan ini (hingga Khamis) dan bilangan ini dijangka akan terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan sehingga pertengahan September depan.

"Peningkatan kes pembakaran terbuka ini disebabkan aktiviti pertanian sara diri penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlin berkata pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka boleh disabitkan hukuman mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dengan kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Beliau berkata sejak Januari hingga semalam sebanyak 358 kompaun, 72 notis arahan dan sembilan kertas siasatan dibuka bagi kesalahan pembakaran terbuka.

Pada masa sama, katanya selain aktiviti pembakaran terbuka, pelepasan daripada aktiviti perindustrian, aktiviti kerja tanah dan kenderaan bermotor turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di beberapa negeri ketika ini.

Norlin berkata sekiranya pembakaran terbuka dan jerebu berlaku semasa pandemik Covid-19, kedua-duanya boleh meningkatkan risiko bahaya pencemaran udara kepada kesihatan awam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya hingga 11 pagi tadi, tiada kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat dalam negara.

Selain itu, sebanyak 16 titik panas turut dikesan iaitu sembilan di Sabah, tiga di Pahang, dua di Selangor dan masing-masing satu di Perak serta Johor.

Menurutnya terdapat peningkatan bilangan titik panas di dalam negara dalam tempoh tiga bulan terakhir dengan 242 titik panas dikesan pada Julai (hingga semalam) berbanding 166 pada Jun lepas dan 113 pada Mei lepas.

Orang ramai diminta melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. - Bernama