Berskala kecil, perasmian Sukan Olimpik Tokyo tetap menakjubkan

Jepun akhirnya berjaya mendepani pandemik Covid-19, bagi mempersembahkan pertunjukan cukup hebat berteknologi tinggi, untuk majlis pembukaan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi. - Foto Bernama
Jepun akhirnya berjaya mendepani pandemik Covid-19, bagi mempersembahkan pertunjukan cukup hebat berteknologi tinggi, untuk majlis pembukaan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS berdepan pelbagai cabaran dan rintangan sejak 18 bulan lepas, Jepun akhirnya berjaya mendepani pandemik Covid-19, bagi mempersembahkan pertunjukan cukup hebat berteknologi tinggi, untuk majlis pembukaan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi.

Ia berlangsung dalam stadium yang hampir kosong, apabila kurang daripada 1,000 orang kenamaan menghadiri majlis di Stadium Olimpik di sini yang mampu memuatkan 68,000 penonton - senario yang jelas berbeza sama sekali dengan kehadiran puluhan ribu peminat menceriakan majlis pembukaan pada masa lalu.

Bilangan peserta yang mengambil bahagian dalam temasya sukan yang tertangguh selama setahun itu juga berkurangan berikutan pandemik global, perbezaan yang cukup ketara berbanding temasya sebelumnya, dan kesemua yang hadir pula kini terpaksa memakai pelitup muka.

Bagaimanapun majlis pembukaan berlangsung dalam suasana yang memukau dengan pertunjukan dron, bunga api serta persembahan muzikal, dan seperti biasa negara yang mengambil bahagian berarak memasuki stadium satu demi satu ke dalam stadium, diketuai Greece yang menjadi tuan rumah pertama Sukan Olimpik.

Negara tuan rumah Jepun yang terakhir memasuki stadium, dan yang mengambil bahagian dalam temasya tahun ini melibatkan 206 negara, termasuk pasukan pelarian.

Kesan pandemik Covid-19 turut diketengahkan oleh penganjur, dan suasana bertukar sayu serta menyentuh perasaan buat seketika apabila sesi bertafakur diselitkan dalam majlis malam ini bagi memperingati mereka yang kehilangan anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Selepas atlet, pegawai dan jurulatih membacakan ikrar Olimpik, ia kemudian disusuli dengan persembahan secara maya lagu ikonik ‘Imagine’ oleh beberapa penyanyi terkenal dunia termasuk John Legend dan Keith Urban.

Lagu itu yang dipopularkan oleh mendiang John Lennon, pada dasarnya menggalakkan para pendengar kepada keamanan dunia, tanpa materialisme, tanpa sempadan yang memisahkan negara dan agama.

Artikel Berkaitan:

Sukan itu secara rasminya diisytiharkan pembukaannya oleh Maharaja Jepun Naruhito, disaksikan oleh pemimpin dunia dan tokoh terkemuka termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Wanita Pertama Amerika Syarikat Jill Biden.

Ia kemudian disusuli dengan paparan seni yang lebih mengujakan serta perarakan oleh beberapa petugas barisan hadapan yang terlibat dalam memerangi pandemik, diberi penghormatan membawa bendera Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk dikibarkan.

Selepas persembahan yang lebih mengagumkan dan ucapan yang menyentuh mengenai perpaduan, tibalah upacara kemuncak perasmian - menyalakan kawah obor.

Dengan sebahagian petugas barisan hadapan turut terlibat dalam penyerahan obor di sekitar stadium, ia akhirnya diserahkan kepada juara perseorangan wanita tenis Grand Slam empat kali Naomi Osaka untuk menyalakan kawah dengan bergaya.

Bertemakan ‘United by Emotion’, majlis perasmian Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah melakar sejarah tersendiri, dengan setiap negara mempunyai dua pembawa bendera (lelaki dan wanita) buat kali pertama, manakala bilangan pembaca ikrar telah ditambah daripada tiga kepada enam (dua atlet, jurulatih dan pengadil) untuk menyerlahkan kepentingan perpaduan, keterangkuman, tiada diskriminasi dan kesaksamaan.

Kontinjen Malaysia seramai 13 peserta diketuai pemain badminton Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur Gemilang. - Foto Bernama
Kontinjen Malaysia seramai 13 peserta diketuai pemain badminton Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur Gemilang. - Foto Bernama

Kontinjen Malaysia seramai 13 peserta diketuai pemain badminton Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur Gemilang, merupakan negara ke-177 berarak masuk ke stadium.

Atlet lelaki dan pegawai memakai baju Melayu lengkap dengan tanjak, rekaan inspirasi daripada persalinan pemakaian pahlawan Melayu terbilang, Laksamana Hang Tuah, yang menetap di Melaka semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah pada abad ke-15.

Atlet wanita pula memakai baju kurung, lengkap berdokoh dan pakaian luar yang direka untuk sepadan dengan pakaian atlet lelaki.

Rekaan itu dihasilkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dengan memaparkan corak geometri dan warna yang diadaptasi daripada Jalur Gemilang.

Perbarisan Malaysia turut disertai penerjun negara Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yen Yee; perenang Phee Jinq En dan Welson Sim; gimnastik Farah Ann Abdul Hadi serta Ketua Sekretariat Malaysia Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Tokyo sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1964. Sukan ini akan berakhir secara rasmi pada 8 Ogos apabila Jepun menyerahkan baton kepada Perancis untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Tetapi tidak semuanya berjalan lancar apabila beratus-ratus penunjuk perasaan, membawa pelekat yang tertera ‘Lives over Olympics’, memprotes di sekitar stadium sambil menjerit ‘Hentikan Olimpik’ pada sebelah petang.

Pandemik ini masih memberi ancaman besar, dengan lebih 100 orang terlibat dalam Olimpik diuji positif setakat ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Sukan Olimpik Tokyo 2020 buka tirai