Utamakan sekolah jumlah murid sedikit

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, keutamaan juga harus diberikan kepada kelompok sekolah yang sudah mencapai 80 peratus imunisasi.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, keutamaan juga harus diberikan kepada kelompok sekolah yang sudah mencapai 80 peratus imunisasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbang pembukaan sekolah dengan memberi keutamaan kepada sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai jumlah murid yang sedikit.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, keutamaan juga harus diberikan kepada kelompok sekolah yang sudah mencapai 80 peratus imunisasi.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan sekolah pada 1 September depan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara perlu diberi perhatian khususnya membabitkan perkembangan vaksinasi terhadap guru dan murid serta beberapa pihak lain yang berkepentingan.

Menurutnya, ia sudah tentu perlu mengambil kira pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan jelas.

“Pihak iGuru berharap proses vaksinasi guru, kakitangan dan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta pelajar Tingkatan Enam disegerakan sehingga mencapai 80 peratus imuniti kelompok sebelum pembukaan sekolah.

“Kita juga mencadangkan agar pembukaan sekolah mengutamakan sekolah yang mempunyai murid yang sedikit, sekolah yang tidak berisiko, zon hijau dan imuniti guru sekolah dan kelompok yang sudah mencapai 80 peratus imuniti.

“Pada masa sama, iGuru menggesa agar vaksinasi diperluas kepada pemandu bas, pengusaha kantin, pekerja kontrak dan juga ibu bapa murid yang berada di tahun peperiksaan bagi mengelakkan risiko jangkitan serta memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap aspek keselamatan dan kesihatan murid ketika berada di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KPM juga perlu menyediakan perancangan teliti dan pelan intervensi khas bagi mengelak ketidaksediaan apabila sekolah dibuka nanti.

Ujarnya, kaedah kehadiran sekolah secara bergilir boleh dijadikan cara untuk mengelakkan jangkitan.

“Pembelajaran tahap satu perlu diadakan bagi mengelak masalah 3M (membaca, mengira, menulis) dengan dibenarkan ke sekolah mengikut SOP yang ketat dan dijalankan dalam bilangan saiz yang kecil di dalam kelas.

“Pihak sekolah juga perlu diberikan autonomi untuk merangka apa yang terbaik untuk sekolah mereka berdasarkan panduan jelas daripada KPM, KKM, dan MKN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diperkemas khususnya bagi pelajar yang bukan kelas peperiksaan agar dapat menjaga aspek kesejahteraan mental, emosi pelajar dan guru.

ARTIKEL BERKAITAN:Segelintir guru bimbang kembali mengajar di sekolah

ARTIKEL BERKAITAN:Vaksin guru sepenuhnya