'Hanya boleh dilakukan di dalam sistem'

Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius modus operandi menukar nama penerima vaksin di laman sesawang perkhidmatan MySejahtera yang dikatakan akibat perbuatan rasuah oleh sindiket tertentu.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Bakri berkata, buat masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung tindakan seumpama itu dilakukan.

Namun begitu katanya, SPRM juga tidak menolak perbuatan jenayah itu boleh dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab setelah diamanahkan untuk menguruskan sistem perkhidmatan tersebut.

"SPRM yakin perbuatan menukar nama penerima vaksin di dalam perkhidmatan MySejahtera adalah tidak boleh dilakukan atau sukar dilaksanakan ekoran proses ketat.

"Namun SPRM dalam masa sama tidak menafikan sekiranya perbuatan seumpama ini dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab setelah diberikan akses ke atas sistem tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan khas Skuad Rasuah Busters disiarkan pada muka hadapan Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azam berkata, menerusi risikan dijalankan, pihaknya mendapati penukaran nama hanya boleh dilakukan di dalam sistem sekiranya ada individu tidak dapat hadir pada sesi suntikan untuk tarikh yang telah ditetapkan.

Menurutnya, kadar peratusan orang ramai yang tidak dapat hadir untuk menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga orang ramai yang datang secara walk in ke PPV dan kemudiannya diberi peluang mendaftar sebagai penerima vaksin bagi menggantikan individu yang tidak dapat hadir.

"Tetapi jika ada kes menukar nama di dalam sistem perkhidmatan MySejahtera, setakat ini kami di SPRM belum ada bukti wujudnya kes seumpama ini," katanya.

Namun begitu tegas Azam, pihaknya tidak memandang sebelah mata mengenai laporan berhubung kes penukaran nama penerima vaksin di dalam perkhidmatan MySejahtera.

Jelasnya, pihak SPRM akan bertindak menyiasat dan melakukan risikan ke atas lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut.

Malah katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM untuk melaksanakan tindakan lanjut.

Ditanya adakah perbuatan itu didalangi oleh sindiket tertentu daripada pihak pusat rawatan swasta, beliau tidak menafikannya kerana peluang melakukannya tetap ada.

"Klinik swasta juga ada menawarkan pemberian vaksin kepada orang ramai, maka tidak mustahil juga perkara ini boleh dilakukan," katanya.

Menurutnya lagi, apabila satu-satu bekas penyimpanan vaksin dibuka, ia perlu dihabiskan.

Maka menurutnya, ada kebaikan dan kesan buruk berhubung pelaksanaan proses tersebut.

"Kebaikannya adalah tidak membazir tetapi dalam masa sama ia boleh diambil kesempatan untuk menawarkannya kepada mereka yang terdesak untuk divaksin," katanya mengakhiri perbualan.