Tuk-Tuk Thailand makin tenat

Ribuan tuk-tuk tersadai tanpa penumpang di kota Bangkok. - Gambar AFP
Ribuan tuk-tuk tersadai tanpa penumpang di kota Bangkok. - Gambar AFP
A
A
A

TUK-TUK iaitu kenderaan beroda tiga pelbagai warna yang sentiasa membelah laluan trafik Bangkok cukup terkenal dalam kalangan pelancong di bandar raya tersebut.

Namun, negara itu yang ketika kini berusaha mengekang penularan pandemik Covid-19 melalui perintah darurat sekali gus menjejaskan pendapatan para pemandu teksi dan tuk-tuk di Bangkok.

Pendapatan pemandu tuk-tuk merosot teruk kerana sektor pelancongan menduduki tempat kelima daripada segi pulangan ekonomi Thailand.

Negara itu juga pernah menghadapi masalah ekonomi ekoran krisis kewangan Asia yang teruk pada tahun 1997, namun penangan kali jauh berbeza.

Thailand dilaporkan menerima anggaran kedatangan pelancong asing sebanyak 40 juta pada tahun lalu sebelum kes pandemik Covid-19 yang sebahagian besarnya disebabkan varian Delta dari India melanda negara berkenaan.

Berikutan pandemik itu yang semakin meningkat, penggunaan teksi beroda tiga tersebut di Bangkok dan merupakan pengangkutan pilihan utama pelancong asing tidak lagi kelihatan di jalan-jalan raya bandar raya tersebut.

Pada Jumaat lalu, kes Covid-19 mencatatkan rekod baharu apabila terdapat sebanyak 14,575 kes jangkitan baharu dan 144 kes kematian dengan kes keseluruhan pandemik tersebut ialah 467,707.

Bagaimanapun, daripada 467,707 kes Covid-19, sebanyak 320,152 pesakit telah pulih dan 143,744 lagi masih dirawat di hospital manakala 3,811 orang telah meninggal dunia. Thailand mempunyai lebih 69 juta penduduk.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 100,000 orang yang sebelum ini bekerja di sektor pengangkutan Thailand kini tidak lagi mempunyai pekerjaan dan lebih separuh daripada sejumlah teksi di Bangkok tidak bergerak di atas jalan raya, kata Presiden Persatuan Operator Pelancongan Bangkok, Wasuchet Sophonsathien kepada AFP.

Dianggarkan kira-kira 15 juta penduduk tinggal di kawasan bandar raya Bangkok manakala Perdana Menteri, Prayuth Cha-o-Cha dikritik berhubung pengurusan kerajaan dalam menghalang penularan varian Delta di negaranya.

Gambar yang dirakam pada 20 Julai lalu menunjukkan beberapa orang memasak dekat barisan tuk-tuk di sebatang jalan raya di Bangkok. - Foto AFP
Gambar yang dirakam pada 20 Julai lalu menunjukkan beberapa orang memasak dekat barisan tuk-tuk di sebatang jalan raya di Bangkok. - Foto AFP

Program vaksinasi yang dilakukan di negara itu juga perlahan manakala kerajaannya dikritik selepas terdapat laporan penduduk meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan Covid-19 di rumah-rumah mereka.

Seorang pemandu teksi, Anuchit Surasit berkata, sebelum ini pelancong, pekerja, orang ramai yang membeli-belah, sebilangan penduduk keluar dengan rakan adalah merupakan pelanggan mereka tetapi golongan penumpang itu kini telah tiada.

Lelaki berusia 47 tahun itu memarkir teksinya di sebuah garaj di barat Bangkok bersama-sama sejumlah kenderaan teksi lain.

Ketika dia mengakui masih menyayangi pekerjaannya sebagai pemandu teksi, Anuchit berkata, pendapatannya merosot sebanyak 300 baht (RM38.53) sehari.

Dia juga mahu berhenti menjadi pemandu teksi kerana bimbang risiko penularan pandemik Covid-19 disebabkan varian Delta yang cepat merebak.

Anuchit berkata, dia perlu mencari pekerjaan baharu kerana bekerja sebagai pemandu teksi terlalu berisiko buat masa kini.

Seorang lagi pemandu, Somsak Boontook, 57, tidak menyembunyikan perasaan putus harapannya tetapi lelaki itu masih berjuang untuk survival keluarganya.

Pada tahun lalu, kerajaan Thailand meluluskan dana berjumlah AS$920 juta (RM3.8 bilion juta) bagi membantu perniagaan di Bangkok termasuk dalam sektor pengangkutan.

Tetapi banyak yang perlu dilakukan, kata Wichai Supattranon yang memulakan perniagaan pengangkutan bersama ibunya empat dekad lalu dan kini mempunyai 60 teksi tuk-tuk.

Wichai berharap kerajaan akan dapat membuka semula negara tersebut secepat yang mungkin. - Agensi