Tiga wakil skuad badminton turun gelanggang

CHOONG HANN
CHOONG HANN
A
A
A

MISI skuad badminton Malaysia memburu pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula hari ini apabila tiga wakil negara akan turun ke gelanggang di Plaza Sukan Musashino Forest.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, kesemua barisan pemain negara kini mula fokus bagi menghadapi lawan masing-masing.

“Mereka (pemain) telah bersedia dengan baik dan telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dewan gelanggang utama. Kami perlu melihat ke hadapan dalam tiga perlawanan esok (Sabtu).

“Saya percaya setiap pemain yang turun beraksi boleh memberikan aksi yang terbaik dan mengatasi cabaran dalam perlawanan pertama nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dijadualkan menentang gandingan Indonesia, Polii Greysia-Rahaya Apriyani manakala beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal bertemu pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula akan menghadapi cabaran pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tsr Ying Suet dalam saingan beregu campuran.

Dalam pada itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai perancangan bagi mempersiapkan pemain menghadapi temasya Olimpik termasuklah menjalani kem latihan di Ehime, namun tergendala disebabkan pandemik Covid-19.

Menurutnya, langkah untuk menggabungkan semula atlet di bawah satu bumbung menggunakan konsep gelembung sukan dilihat langkah terbaik.“Ini merupakan detik yang tidak dapat dijangka. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya mengganggu persiapan pemain khususnya untuk bertanding di luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya, masa sukar yang dilalui setiap pemain akan menguatkan fizikal dan mental mereka. Saya begitu terharu dengan semangat dan komitmen mereka,” ujarnya.