Syed Saddiq kumpul lebih RM700,000 bayar wang jamin mahkamah

Syed Saddiq. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
Syed Saddiq. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM715,573.77 dalam tempoh 24 jam bagi membayar wang jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Syed Saddiq yang berdepan dengan dua pertuduhan iaitu penyelewengan dana politik kira-kira RM1 juta dan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000 di Mahkamah Sesyen Rasuah, Kuala Lumpur pada Khamis sebelum ini dibenarkan diikat jamin berjumlah RM330,00.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam ciapannya di Twitter turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan.

"I owe my life to Malaysia (Saya terhutang budi dengan rakyat Malaysia). 24jam, (dana dikumpul) RM715,573.77 (dengan) 9,836 penyumbang. Thank you. Thank you. Thank you.

"Saya selamanya terhutang budi. Saya tidak akan berhenti sehingga kita berjaya membina Malaysia untuk semua rakyat. Malaysia, di mana setiap rakyat dengan bangganya dapat memanggil tanah air," katanya.

Memandangkan dana untuk membayar wang jaminan itu sudah mencukupi, Syed Saddiq berkata, kutipan dana untuk bayaran wang jaminan itu ditutup.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi seorang 'pakcik' datang ke pejabatnya untuk turut sama menyumbang.

"Petang tadi, ada pakcik datang ke pejabat saya. Ingatkan nak minta bantuan. Rupanya nak sumbangkan RM100 ke saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa mahu menangis. Pada saat-saat seperti ini, saya teringatkan mengapa saya menyertai politik.

"Bukan kerana jawatan atau wang, tetapi untuk membina Malaysia yang maju dan bermaruah. Lagi mereka tekan, lagi saya akan lawan.

"Tiada ancaman, tiada ugutan dan tiada tawaran yang akan melemahkan tekad saya untuk meletakkan Malaysia keutamaan saya. Saya di sini kerana rakyat, jatuh bangun di tangan rakyat. Terima kasih. Saya terhutang budi kepada semua," jelasnya.

Pada Khamis, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Rasuah, Kuala Lumpur atas dua pertuduhan iaitu penyelewengan dana politik kira-kira RM1 juta dan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000.

Bagaimanapun, beliau tidak mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Hakim Azura kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi kesalahan kedua dengan masing-masing seorang penjamin.