Timbalan Pengerusi KRT Wakaf Tapai maut ditembak rakan baik

Anggota Polis mengusung mayat mangsa yang ditembak suspek di bahagian dada di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang pada Jumaat. -Foto: Bernama
Anggota Polis mengusung mayat mangsa yang ditembak suspek di bahagian dada di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang pada Jumaat. -Foto: Bernama
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki maut manakala anak saudaranya cedera parah ditembak rakan baik menggunakan senapang patah dalam kejadian di sebuah pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Raya Wakaf Tapai di sini pada petang Jumaat.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan mangsa Fong Swee Fuan, 65, yang juga Timbalan Pengerusi KRT Wakaf Tapai maut di tempat kejadian, manakala anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, cedera parah di bahagian dada.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 57 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke arah kedua-dua lelaki terbabit.

“Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek ada mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Jumaat.

Rohaimi berkata, suspek yang juga merupakan anggota Rela melarikan diri menaiki sebuah pacuan empat roda namun berjaya ditahan polis di kawasan kebun Durian Mentangau, Dungun kira-kira 4.20 petang dan senjata yang digunakan untuk menembak kedua-dua mangsa telah dirampas.

“Buat masa ini kami belum mengetahui motif sebenar kejadian dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek dan mangsa adalah kawan baik dan mereka tinggal di kawasan perumahan yang sama,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat Swee Fuan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut, manakala Hock Beng sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu adik mangsa, Fong Swee Heng, 59, berkata, semasa kejadian beliau berada di kedai berdekatan kawasan perumahan tersebut sebelum dimaklumkan penduduk setempat mengenai kejadian yang menimpa abang dan anak saudaranya itu.

“Sewaktu berada di kedai saya ada terdengar dua kali bunyi letupan, ingatkan bunyi mercun rupanya tembakan. Apabila mengetahui abang ditembak saya bergegas ke lokasi dan terserempak dengan suspek di pertengahan jalan. Suspek sempat memberitahu saya, dia telah menembak abang sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, beliau mendapati abangnya telah meninggal dunia dalam keadaan terduduk di kerusi, manakala anak saudaranya pula terbaring dan cedera parah di bahagian dada. - Bernama