Aksi Kedah Darul Aman FC, Penang FC tunda, dua pemain positif Covid-19

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa perlawanan Liga Super melibatkan Kedah Darul Aman FC dengan Penang FC di Stadium Darul Aman pada Sabtu terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu selepas dua pemain tuan rumah positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL bersetuju untuk menunda perlawanan di Alor Setar tersebut selepas mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan dikesan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif Covid-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam camp based training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan camp based training bagi menjaga Gelembung Sukan.

“Justeru, perlawanan Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain-pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif Covid-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan. Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Dalam pada itu, Ab Ghani berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran baki saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Liga Malaysia akan kembali bersambung pada esok dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini,” katanya.