12 rumah terjejas akibat ribut

Noh (kiri) melawat salah sebuah rumah mangsa ribut di Kampung Sungai Kajang pada Jumaat.
Noh (kiri) melawat salah sebuah rumah mangsa ribut di Kampung Sungai Kajang pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sebanyak 12 rumah di Parlimen Tanjong Karang di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, angin kencang dan hujan lebat turut merosakkan tujuh khemah peniaga.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kejadian angin kencang itu menyebabkan sebahagian bumbung zink rumah penduduk rosak diterbangkan angin kuat.

"Sebanyak tiga rumah di Parlimen Tanjong Karang mengalami kerosakan teruk manakala selebihnya mengalami kejadian bumbung tercabut diterbangkan angin," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke rumah mangsa ribut di Parlimen Tanjong Karang pada Jumaat.

Noh berkata, kejadian ribut turut membabitkan beberapa kampung antaranya di Kampung Sungai Kajang, Bagan Pasir dan Kampung Parit 2 Sungai Burong.

"Selain itu, terdapat khemah peniaga rosak antaranya empat di Pekan Tanjong Karang dan tiga di Kampung Sungai Kajang," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan menilai kerosakan dihadapi mangsa ribut dan akan segera menyalurkan bantuan bagi membaik pulih.

"Esok (Sabtu) kerja baik pulih ini akan dijalankan bagi membantu penduduk yang terkesan terutama mereka yang mengalami kerosakan rumah teruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang mangsa ribut, Nor Riha Soem, 59 berkata, kejadian ribut itu dianggap luar biasa seolah-olah mendengar bunyi letupan meriam.

Dia berkata, kejadian jam 10.50 malam itu amat menakutkan apabila bumbung tingkat atas rumah kayunya diterbangkan angin sejauh 15 meter.

Katanya, semasa kejadian, dia bersama bapanya, Soem Taib, 92,dan dua anaknya berada di tingkat bawah.

"Apabila naik ke tingkat atas, saya sekeluarga ketakutan apabila zink bahagian ruang tamu sudah diterbangkan angin.

"Saya hanya mampu beristighfar dan menyelamatkan harta benda seperti perabot dan barangan elektrik," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan beberapa kampung lain di daerah Kuala Selangor turut berdepan dengan kejadian ribut dan angin kencang.

Beberapa kawasan seperti di Jeram, Bukit Belimbing, Bestari Jaya turut mengalami ribut kuat pada malam Khamis selain dilaporkan terdapat kejadian pokok tumbang di Jalan Pendidikan Kuala Selangor.