Bicara saman pelucuthakan berkaitan 1MDB ditangguh

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan saman pelucuthakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 17 yang lain, melibatkan ratusan aset telah ditangguhkan ke 30 Ogos berikutan perkembangan baharu dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memohon penangguhan kerana pihak pendakwaan menerima surat berhubung kes itu dan memerlukan masa untuk mengkajinya.

“Surat-surat itu saling berkaitan dengan saman pelucuthakan lain. Kami sedang mempertimbangkan surat-surat itu. Namun disebabkan kawalan pergerakan, kami memerlukan lebih banyak masa untuk mengadakan perbincangan,” katanya kepada mahkamah.

Pihak lain dalam kes itu tidak membantah penangguhan tersebut.

Apabila ditanya oleh Hakim Mohamed Zaini sama ada perkembangan baharu itu akan menggugat prosiding sekarang, Faten Hadni berkat,a mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji surat itu dan akan mengemas kini mahkamah sekiranya terdapat perkembangan.

Hakim Mohamed Zaini kemudian membenarkan penangguhan dan menetapkan 30 Ogos untuk mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan.

Ketika ditemui selepas prosiding, Faten Hadni berkata, surat-surat itu diterima daripada seorang peguam dalam kes itu tetapi pendakwaan tidak dapat mendedahkan kandungan atau bilakah mereka menerimanya.

“Ia saling berkaitan dengan saman pelucuthakan lain jadi ia membabitkan barangan rampasan dalam kes ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis pelucuthakan berhubung beratus-ratus item termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta tiga anak pasangan itu, 13 individu dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd serta Hong Leong Bank Bhd turut dibekukan antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Permohonan itu menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng, Lim, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Permohonan itu antara lain difailkan atas alasan bahawa pendakwaan yang bertindak mengikut Seksyen 56(1) dibaca bersama dengan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, berpuas hati bahawa kesemua item yang dirampas antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 adalah mempunyai perkaitan dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau sebagai hasil aktiviti haram yang membabitkan responden. - Bernama