Polis berhibur di balai: Hamzah minta KPN ambil tindakan tegas

Hamzah Zainudin - Foto Bernama
Hamzah Zainudin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau sudah memaklumkan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani agar mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang ditahan kerana disyaki berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang, Selasa lepas.

Hamzah berkata, individu seperti itu tidak seharusnya berada dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara.

“Saya sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara (Acryl Sani) supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai seperti ini. Kami sudah memberikan amanah kepada PDRM dan mereka melanggarnya. Pada saya individu seperti ini tidak harus ada dalam pasukan.

“SOP bukan hanya terpakai pada rakyat sahaja tetapi adalah untuk semua peringkat masyarakat sebab itu kita lihat ramai menteri juga dikenakan kompaun,” katanya selepas melakukan tinjauan pematuhan SOP di sekitar Bukit Kiara dan Sungai Buloh di sini pada Jumaat.

Pada Selasa lepas, empat anggota polis termasuk seorang Ketua Balai berpangkat Sub Inspektor ditahan bersama empat wanita ketika mereka sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan dalam serbuan pada jam 6 petang.

Semasa serbuan, polis turut merampas antaranya beberapa botol disyaki mengandungi air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.

Kesemua anggota polis terlibat kini digantung kerja sementara siasatan sedang dijalankan. - Bernama

Artikel Berkaitan: