Ketenangan pacu Syaqiera cipta rekod peribadi terbaik

Syaqiera Mashayikh - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
Syaqiera Mashayikh - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
A
A
A

KEMAMPUAN mengawal tekanan menjadi kunci kejayaan persembahan bergaya pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh yang melakar catatan peribadi terbaik pada hari pertama saingan memanah di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Jumaat.

Syaqiera mengakui menanggung rasa gemuruh sebelum memulakan aksi pusingan penentuan ranking acara recurve individu wanita di Lapangan Sasar Memanah Yumenoshima Park memandangkan Sukan Olimpik Tokyo adalah penampilan pertamanya di temasya berprestij itu.

Dia yang menyasarkan untuk permulaan positif turut merasai tekanan bersaing bersama barisan jaguh memanah dunia terutama dari Korea Selatan, meskipun telah membuat persediaan rapi menjelang hari pertandingan.

Bagaimanapun, keupayaannya mengatasi perasaan bercampur baur selain tekanan pertandingan memastikan atlet kelahiran Segamat, Johor itu memperoleh slot ke Tokyo di saat akhir pada awal bulan ini dapat memberikan sepenuhnya tumpuan ketika melepaskan panahan.

“Rasa gemuruh disebabkan Olimpik pertama dan saingan yang bukan calang-calang tetapi alhamdulillah saya dapat kawal ketika melepaskan panahan untuk catat rekod peribadi terbaik 630 berbanding 619 mata sebelum ini.

“Perbezaan 11 mata dalam memanah agak tinggi, ia pencapaian yang baik untuk saya,” tambahnya yang menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar sehingga tamat tingkatan 1 sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Pahang di Gambang.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Malaysia berusia 21 tahun itu akan meneruskan saingan recurve individu wanita berdepan pemanah Rusia, Elena Osipova dalam pusingan pertama, Selasa depan.

Pada aksi, Syaqiera yang menghuni ranking ke-355 dunia berjaya menamatkan saingan pusingan penentuan ranking di kedudukan ke-43 selepas mengumpul 630 mata sekali gus memperbaiki rekod 619 mata yang dilakukan pada kelayakan terakhir Olimpik di Paris Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rentak positif Syaqiera itu disusuli dengan aksi jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad yang menamatkan pusingan penentuan ranking acara recurve individu lelaki di tempat ke-20 dengan mengumpul 661 mata selepas melengkapkan keseluruhan 72 panahan.

Bagi Khairul Anuar yang membuat penampilan ketiganya di Sukan Olimpik selepas edisi London 2012 dan Rio de Janeiro 2016, sasaran yang ditetapkan terhadap kontinjen negara untuk membawa pulang tiga pingat, termasuk sebutir emas tidak mengganggu tumpuannya di Tokyo.

“Memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik memang idaman bagi setiap atlet, jadi soal harapan rakyat Malaysia kepada saya itu tidak memberikan tekanan, lagi pun saya sendiri di mana-mana kejohanan, termasuk di peringkat Olimpik, saya mempunyai sasaran tersendiri,” katanya.

Khairul Anuar, 29, yang menghuni ranking ke-15 dunia ketika ini dijadual membuat perhitungan menentang pemanah Finland, Antti Vikstrom pada aksi pertama pusingan kalah mati, Rabu depan.